
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)
DALAT, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Adat Ngiling Bidai bukan sahaja melambangkan penutupan musim Gawai Dayak, malah menjadi simbol kesyukuran serta kesinambungan warisan budaya masyarakat Iban di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, adat tersebut mempunyai makna mendalam kerana menandakan berakhirnya musim Gawai dan permulaan kehidupan harian dengan semangat serta azam baharu.
Menurut beliau, Gawai Dayak merupakan tanda kesyukuran kepada Tuhan atas nikmat kehidupan, kesihatan, ketenangan dan kebahagiaan yang dikurniakan.
“Gawai Dayak bukan sekadar perayaan sesuatu kaum. Ia adalah tanda kesyukuran kepada Tuhan atas segala nikmat kehidupan, kesihatan, ketenangan dan kebahagiaan yang telah dikurniakan kepada kita,” katanya ketika merasmikan Program Ngiling Bidai di Rumah (Rh) Dari Balin, Nanga Baoh, Dalat, semalam.
Beliau berkata, keunikan Sarawak yang mempunyai lebih 40 suku kaum menjadikan sambutan seperti Gawai Dayak sebagai ruang untuk menghargai adat dan budaya masyarakat yang pelbagai.
“Adat ini mengingatkan kita bahawa setiap kegembiraan datang bersama tanggungjawab, setiap manfaat perlu diteruskan dengan usaha dan setiap nikmat hendaklah disyukuri melalui tindakan yang positif,” ujarnya.
Royston turut memuji masyarakat Nanga Baoh yang mengamalkan nilai musyawarah, semangat tolong-menolong dan hormat-menghormati dalam kehidupan seharian.
Beliau berharap nilai gotong-royong, kebersamaan dan kekeluargaan dalam masyarakat Iban akan terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi muda agar adat dan budaya terus kekal relevan.
-RJ-





