
Laporan/foto: Sufe Fuddin (Kuala Muda)
KUALA MUDA, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha Malaysia memperkukuhkan agenda tenaga hijau terus menunjukkan perkembangan positif apabila projek TNB Bukit Selambau Solar (TBSS) di Bukit Selambau, Kedah muncul sebagai antara projek solar berskala besar yang membanggakan negara, sekali gus menyokong sasaran peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon demi masa depan yang lebih lestari.
Ladang solar yang dibangunkan oleh TNB Renewables Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), melibatkan pemasangan ribuan panel fotovoltaik (PV) bagi menjana tenaga bersih yang disalurkan ke grid nasional.
Projek ini menjadi simbol komitmen Malaysia dalam memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber tenaga alternatif yang mesra alam.
Fasa terkini projek tersebut, iaitu TNB Bukit Selambau Solar 2 (TBSS2), meliputi kawasan seluas kira-kira 180 ekar dengan kapasiti penjanaan sebanyak 50MWac.
Keupayaan tersebut menjadikannya antara ladang solar terbesar milik TNB dari segi keluasan operasi di Malaysia.
Selain itu, projek TBSS2 turut mencatat kejayaan apabila mencapai operasi komersial lebih awal daripada jadual yang ditetapkan, sekali gus membuktikan kecekapan pelaksanaan projek tenaga hijau negara.

Taklimat oleh Pengurus Besar TNB Renewbles.
Pembangunan ladang solar ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara, malah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti sekitar melalui pelbagai aktiviti pembangunan yang berkaitan.
Inisiatif seperti TNB Bukit Selambau Solar membuktikan kesungguhan Malaysia dalam mempercepatkan peralihan tenaga negara ke arah sumber yang lebih mampan. Pada masa sama, projek ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tenaga bersih dalam menjamin kelestarian alam sekitar untuk generasi masa hadapan.
-RI








