
Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan/Badri Jusoh (Terengganu)
KUALA NERUS, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital yang pantas tidak menghalang Kelab Gasing Warisan Kampung Lingai untuk terus berjuang memartabatkan permainan tradisional gasing.
Presiden kelab, Mahadi Harun berkata idea menubuhkan kelab tersebut pada tahun 2013 tercetus selepas beliau sendiri menyaksikan keunikan dan keindahan permainan gasing yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat tempatan.
“Selepas melihat sendiri permainan gasing, saya mula tertarik dan mendalami seni pembuatan serta teknik permainan ini. Dari situ lahirnya usaha untuk menubuhkan Kelab Gasing Warisan Kampung Lingai,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Menurut beliau, kelab yang kini berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) giat menjalankan pelbagai aktiviti bagi memperkenalkan permainan gasing kepada masyarakat, khususnya golongan muda, selain memastikan seni warisan tersebut terus dipelihara dan diwarisi.

Gasing dalam proses imbangan.
Mahadi menjelaskan bahawa kelab berkenaan menggunakan gasing leper atau lebih dikenali sebagai gasing pangkah yang diperbuat daripada kayu penaga, manakala tali gasing dihasilkan daripada kulit kayu terap yang terkenal dengan ketahanan dan kelenturannya.
“Bagi memastikan keseimbangan gasing ketika dipangkah dan dipusing, kami menggunakan timah yang diperoleh daripada kepala bateri kereta atau lori sebagai pemberat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa proses menghasilkan sebuah gasing pada suatu ketika dahulu mengambil masa sehingga dua minggu kerana semua kerja dilakukan secara manual menggunakan peralatan tradisional.
“Namun dengan penggunaan mesin moden pada masa kini, tempoh pembuatannya dapat dipendekkan kepada kira-kira seminggu sahaja tanpa menjejaskan kualiti dan keaslian gasing,” ujarnya.
Tambah Mahadi, usaha memelihara permainan gasing perlu diteruskan agar warisan nenek moyang tidak hilang ditelan zaman serta dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Beliau berharap lebih ramai golongan muda akan menunjukkan minat terhadap permainan tradisional itu dan bersama-sama memartabatkan seni warisan yang menjadi identiti masyarakat Melayu.
Permainan gasing diwartakan sebagai sukan tradisi dan sukan rakyat di bawah Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
-RI








