
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana penuh debaran bertukar menjadi kegembiraan apabila para pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang menerima keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dalam majlis pengumuman yang berlangsung di sekolah itu, kelmarin.
Dalam ucapannya, Pegawai Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu, Azaman Abdul Rahman, mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang serta menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil gabungan usaha gigih pelajar, bimbingan guru dan sokongan berterusan ibu bapa.
Beliau turut berpesan kepada pelajar yang kurang berpuas hati dengan keputusan masing-masing agar tidak menjadikan keputusan peperiksaan sebagai noktah kepada impian mereka.
“Setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza. Teruskan berusaha kerana masih banyak peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Kejayaan bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi juga kesungguhan untuk bangkit dan terus mencuba,” katanya.
Antara pelajar yang mencuri tumpuan ialah Elina Yasmin Marzuki, 20, apabila berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 serta mengekalkan keputusan 4.00 pada setiap semester sepanjang pengajian Tingkatan Enam.
Elina berkata, kejayaan itu bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil disiplin yang tinggi, pengurusan masa yang baik serta doa dan sokongan yang tidak pernah putus daripada ibu bapa dan guru-guru.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana segala penat lelah selama ini akhirnya membuahkan hasil. Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan supaya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa kerana setiap usaha pasti ada ganjarannya,” katanya.
Turut mencipta kejayaan cemerlang ialah Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, 20, yang turut memperoleh PNGK 4.00.
Menurut Muhammad Adam, kejayaan tersebut merupakan hadiah paling bermakna buat ibunya yang kini sedang berjuang melawan penyakit kanser.
Beliau berkata, kesukaran yang dihadapi keluarga bukan menjadi alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga dan membalas segala pengorbanan ibu.
“Kejayaan ini saya hadiahkan khas buat ibu. Saya mahu beliau gembira dan bangga melihat hasil usaha saya. Terima kasih juga kepada guru-guru dan seluruh ahli keluarga yang sentiasa mendoakan, membimbing serta memberi semangat kepada saya sepanjang tempoh pengajian,” katanya.
Kisah kejayaan kedua-dua pelajar ini membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya lahir daripada kebijaksanaan, tetapi juga daripada ketabahan, disiplin, doa serta pengorbanan ibu bapa dan guru.
Semangat juang mereka diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus berusaha mengejar cita-cita tanpa mengenal erti putus asa.
-AA-




