Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Tayangan Percuma Piala Dunia FIFA 2026 Meriahkan Komuniti, Bantu Peniaga Tarik Pelanggan

By 19 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Mohd Kamal Khamaruzzaman

SEBERANG JAYA, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Inisiatif kerajaan menyiarkan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma mendapat sambutan positif daripada masyarakat selain memberi manfaat kepada sektor perniagaan tempatan, khususnya pengusaha makanan dan minuman (F&B).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penerimaan rakyat terhadap langkah tersebut amat menggalakkan dan disifatkan sebagai usaha yang bukan sahaja mengurangkan kos yang perlu ditanggung rakyat untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia, malah membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Setakat ini, Alhamdulillah, saya lihat penerimaannya sangat baik. Ada peniaga yang memaklumkan ini kali pertama dalam lebih 20 tahun beliau dapat menyaksikan kesemua perlawanan Piala Dunia disiarkan secara percuma menerusi RTM, RTM Klik dan Unifi.

“Langkah ini dapat mengurangkan kos dan pada masa sama memberi penjimatan besar kepada pengusaha restoran serta premis makanan,” katanya kepada media selepas menghadiri program JIWA@Komuniti MADANI: Sembang Santai Edisi Piala Dunia di Medan Makan Pasar Awam Seberang Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut meluangkan masa meninjau gerai-gerai di sekitar medan makan berkenaan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada peniaga mengenai keadaan perniagaan semasa serta harapan mereka terhadap bantuan kerajaan.

Menurutnya, pendekatan turun padang seperti itu penting bagi membolehkan pemimpin memahami sendiri cabaran yang dihadapi rakyat, termasuk kesan peningkatan kos beberapa barangan susulan konflik di Asia Barat.

Sementara itu, pengunjung, Muhammad Nur Hakimi Masnoor, 24, menyifatkan program berkenaan sebagai inisiatif yang memberi impak positif kepada golongan muda selain membantu meningkatkan pendapatan peniaga setempat.

Seorang lagi pengunjung, Chandra Sagaran, 56, berkata program tayangan bersama Piala Dunia wajar diteruskan kerana mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum melalui minat yang sama terhadap sukan bola sepak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana menyediakan ruang kepada rakyat untuk berkumpul dan menikmati suasana kejohanan dunia secara bersama.

-AA-

Tinggalkan komen anda