Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Belia Perlu Kuasai Kemahiran Masa Depan Kekal Daya Saing

By 27 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)

LUNDU, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Golongan belia perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran masa depan bagi menghadapi perubahan pesat dunia pekerjaan yang dipacu teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Kemahiran tersebut merangkumi aspek komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan kebolehsuaian dalam pasaran kerja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata kecemerlangan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk menjamin kejayaan dalam dunia yang semakin kompetitif.

“Generasi muda hari ini bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah perlu memiliki kemahiran komunikasi, daya tahan, kebolehan bekerja dalam pasukan serta kemampuan menyesuaikan diri,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEX) Lundu, di sini semalam.

Menurut Billy, kemahiran berkenaan penting agar mereka mampu bersaing dalam dunia yang semakin dinamik.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Level Up Youth! Building Future-Ready Leader.

Perkembangan teknologi digital, automasi dan AI telah mengubah landskap pekerjaan global serta mewujudkan pelbagai peluang kerjaya baharu.

Situasi tersebut memerlukan persediaan kemahiran yang berbeza daripada generasi terdahulu.

“Anak-anak muda perlu bersedia menghadapi perubahan ini dengan memperkukuh kemahiran diri, meningkatkan keyakinan dan terus menimba ilmu sepanjang hayat,” katanya.

Billy turut menegaskan bahawa pelaburan dalam pembangunan modal insan merupakan langkah penting bagi memastikan kemajuan negara dapat dicapai secara mampan.

Pembangunan fizikal dan infrastruktur perlu diseimbangkan dengan usaha melahirkan generasi muda yang berilmu serta mempunyai jati diri yang kukuh.

Beliau juga mengingatkan para pelajar supaya tidak menjadikan lokasi luar bandar sebagai alasan untuk mengehadkan cita-cita dan potensi diri.

Program itu melibatkan 70 pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu.

Semua peserta didedahkan kepada pelbagai modul pembangunan diri merangkumi pasaran kerja, simulasi temu duga dan pembinaan kerja berpasukan.

Langkah ini sebagai persediaan menghadapi cabaran pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan.

Billy berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai belia yang berdaya saing dan bersedia menjadi pemimpin masa depan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda