
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Terengganu)
DUNGUN, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana pagi hujung minggu di Kampung Gong Beting, Paka bertambah meriah apabila hampir 200 penduduk setempat menyertai aktiviti brisk walk yang dianjurkan bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Nyior, Mejar (B) Mustafar Haji Saleh, berkata program tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat memanfaatkan masa hujung minggu dengan aktiviti yang sihat di samping mengeratkan hubungan sesama penduduk.
“Program ini memberi peluang kepada penduduk untuk melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan bersama komuniti setempat, sekali gus membudayakan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap di Program Jiwa @ Komuniti MADANI Sembang Santai KM Kampung Nyior, di sini semalam.
Pelbagai pengisian turut diadakan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pameran daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pertandingan mewarna kanak-kanak serta sesi Sembang Santai mengenai isu-isu semasa.
Salah seorang peserta, Nur Zulaikha Amira Hafizi, 31, menyambut baik penganjuran program tersebut dan berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan, malah menjadi platform untuk merapatkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Penganjuran program ini diharap dapat terus menjadi platform berkesan dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat, selaras dengan usaha membina komuniti yang lebih harmoni dan sejahtera.
-AA-




