
Laporan/foto: Aniss Rahim/Majlis Keselamatan Negara (Terengganu)
HULU TERENGGANU, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Budi anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menghimpunkan hampir 300 penduduk Kampung Getang, semalam, sekali gus memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Program yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) dan Rejimen 512 Askar Wataniah itu menjadi platform mendekatkan ATM dengan komuniti melalui pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada penduduk.
Timbalan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu, Mohd Firdaus Ismail berkata, program tersebut berjaya mencapai objektif yang ditetapkan hasil kerjasama erat antara agensi terlibat dan penduduk kampung.
Menurut beliau, usaha berterusan ATM mendekati rakyat mampu membantu membina komuniti yang lebih berdaya tahan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang situasi krisis dan kecemasan.
“Program ini bukan sahaja memberi impak kepada pengukuhan semangat perpaduan dan kesiapsiagaan masyarakat, malah secara tidak langsung menggabungkan elemen gaya hidup sihat, tanggungjawab sosial dan kesedaran pendidikan kesihatan dalam komuniti,” katanya kepada media.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam menjaga kebajikan serta keselamatan setempat.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung termasuk gotong-royong kenduri rakyat, pembersihan Tanah Perkuburan Islam dan Masjid Kampung Getang, pemeriksaan kesihatan, latihan asas pertolongan cemas, pameran promosi ATM serta perkhidmatan kaunter eKasih bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan bantuan dan kebajikan.
-AA-





