Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Niti Daun: Memaknai Warisan, Memperkukuh Perpaduan

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Freda Mathew Manggi (Sarawak)/JAPEN Sarawak/Christi Lemon/Paul Louis

KUCHING, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Niti Daun 2026 bukan sekadar perarakan budaya, tetapi lambang kebersamaan yang mencerminkan kekuatan sebenar Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan.

Di sebalik perbezaan yang wujud, rakyat Sarawak terus membuktikan bahawa perpaduan, saling menghormati dan semangat kebersamaan mampu menjadi asas kepada keharmonian yang berkekalan.

Keunikan inilah yang menjadikan Sarawak istimewa dan sering diangkat sebagai contoh terbaik kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana aman serta bersatu padu.

Ahli Persatuan Pewaris Adat Asal Singai, Christi Lemon, 50, berkata penyertaannya untuk tahun kedua memberi peluang kepada komuniti Bidayuh Singai memperkenalkan adat dan budaya leluhur kepada masyarakat serta pelancong dari dalam dan luar negara.

“Usaha memelihara warisan budaya amat penting agar nilai dan identiti masyarakat tidak luput ditelan arus pemodena,” katanya kepada Malaysia Aktif, kelmarin.

Sementara itu, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Paul Louis, 53, menyifatkan Niti Daun sebagai platform yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan bangsa dalam semangat gotong-royong, saling menghormati serta hidup bermuafakat.

“Suasana meriah sambutan Gawai yang diraikan bersama membuktikan perpaduan terus menjadi kekuatan utama rakyat Sarawak,” jelasnya.

Penganjuran Niti Daun membuktikan bahawa warisan budaya bukan sekadar peninggalan sejarah, sebaliknya khazanah berharga yang menyatukan hati, mengeratkan silaturahim dan memperkukuh semangat Segulai Sejalai.

Dalam era yang semakin mencabar, nilai kebersamaan yang diwarisi turun-temurun inilah yang menjadi benteng kekuatan masyarakat Sarawak.

Selagi warisan terus dihargai dan perpaduan terus dipelihara, selagi itulah Sarawak akan kekal teguh sebagai negeri yang menjunjung keharmonian dalam kepelbagaian serta menjadi inspirasi kepada generasi masa kini dan masa hadapan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda