Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kursus Pemurnian Pakaian, Tarian Tradisi Rungus 3 Julai Ini

By 20 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Hamidah Len/Marusin Menudin (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Jun (MalaysiaAktif)-Kebimbangan terhadap kesilapan pemakaian busana dan persembahan tarian tradisi Rungus mendorong penganjuran Kursus Pemurnian Pakaian dan Tarian Tradisi Rungus pada 3 hingga 4 Julai depan.

Pengurus Kanan Travel and Tours, Roshamidi Roslie berkata kursus selama dua hari itu bertujuan memastikan keaslian warisan budaya Rungus terus terpelihara.

“Kursus ini memberi penekanan kepada pemakaian busana tradisional Rungus dan tarian Mongigol Sumundai yang mempunyai aturan serta adab tersendiri.

“Kita mahu memastikan penggiat seni dan artis budaya memahami cara pemakaian serta teknik tarian yang betul mengikut adat dan tradisi asal etnik Rungus.

“Budaya ini perlu dipelihara secara tepat supaya nilai dan identitinya tidak terhakis apabila diperkenalkan kepada masyarakat atau pelancong,” katanya ketika ditemui di Mari-Mari Cultural Village (MMCV), baru-baru ini.

Menurutnya, hari pertama kursus akan memberi tumpuan kepada teknik pemakaian pakaian tradisional Rungus termasuk susunan aksesori dan perhiasan yang melambangkan identiti masyarakat itu.

Beliau berkata, hari kedua pula memfokuskan pembelajaran tarian Mongigol Sumundai secara bersemuka kerana ia memerlukan bimbingan guru berpengalaman.

“Tarian ini tidak boleh dipelajari secara sempurna hanya melalui video atau media sosial kerana setiap pergerakan mempunyai teknik dan adab tertentu yang perlu dipatuhi.

“Peserta juga berpeluang mempelajari tarian itu dengan iringan alat muzik tradisional asli yang dibawakan khas oleh kumpulan Ansamung dari Persatuan Etnik Rungus Kudat,” ujarnya.

Tambahnya, sambutan diterima amat menggalakkan dan menarik penyertaan dari Semenanjung Malaysia selain peserta Sabah.

“Kami terkejut menerima penyertaan dari luar Sabah. Ia menunjukkan minat masyarakat terhadap budaya Rungus semakin meningkat.

“Melalui kursus ini peserta dapat memperoleh ilmu yang sahih seterusnya membantu mempromosikan dan memelihara warisan budaya Rungus untuk generasi akan datang,” jelasnya.

Individu yang berminat menyertai kursus tersebut bolehlah menghubungi MMCV untuk mendapatkan maklumat lanjut.

-RJ-

Tinggalkan komen anda