Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)
MUKAH, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 67 sukarelawan dari Zon Mukah berjaya menamatkan Kursus Asas Pertahanan Awam Zon Mukah 2026 bagi memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan serta bencana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine menegaskan penganjuran kursus berkenaan merupakan inisiatif penting bagi meningkatkan keupayaan masyarakat untuk bertindak balas serta memastikan komuniti setempat mampu berdepan situasi kecemasan termasuk bencana alam secara cekap.
“Usaha memperkasakan pengetahuan serta kemahiran asas dalam kalangan sukarelawan amat penting kerana mereka merupakan aset komuniti yang bertindak sebagai pasukan sokongan bagi membantu agensi penyelamat dan pihak berkuasa tempatan ketika berlaku sesuatu insiden.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek keselamatan, malah membantu melahirkan individu yang bersedia berkhidmat,” katanya ketika ditemui di Kem Belia Mukah, semalam.
Beliau menjelaskan kursus yang berpandukan aspirasi Sedia, Pantas, Berintegriti itu memberi impak positif kepada semua peserta.
-RJ-




