Skip to main content
Rencana & Pendapat

Tok Pulau Manis Pelopor Dakwah dan Tradisi Keilmuan Islam di Terengganu

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Izzah Insyirah ( Terengganu )

KUALA TERENGGANU, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Nama Tok Pulau Manis atau Sheikh Abdul Malik bin Abdullah terus dikenang sebagai antara tokoh ulama terpenting dalam sejarah Islam di Terengganu.

Beliau memainkan peranan besar dalam penyebaran dakwah serta pembangunan tradisi keilmuan Islam di negeri ini pada abad ke-17 hingga awal abad ke-18.

Dilahirkan di Kuala Berang dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, Sheikh Abdul Malik menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu agama sejak usia muda. Perjalanan menuntut ilmunya bermula di Aceh sebelum diteruskan ke Mekah dan Madinah selama hampir dua dekad, sekali gus membentuk keperibadiannya sebagai seorang ilmuwan yang disegani.

Sukarelawan penjaga Tanah Perkuburan Islam Tok Pulau Manis (Sheikh Abdul Malik bin Abdullah), Kampung Pulau Manis, Serada, di sini Mohammad Embong, 67, berkata Sheikh Abdul Malik bukan sahaja dikenali sebagai ulama, malah menjadi penggerak utama kepada pembinaan tradisi ilmu yang tersusun melalui pengajian kitab di Terengganu.

Mohamd Embong, berkata Sheikh Abdul Malik bukan sahaja dikenali sebagai ulama, malah menjadi penggerak utama kepada pembinaan tradisi ilmu yang tersusun melalui pengajian kitab di Terengganu.

“Semasa berada di Tanah Suci, beliau berguru dengan ulama terkemuka seperti Sheikh Ibrahim al-Kurani dan Sheikh Ahmad al-Qusyasyi. Didikan daripada tokoh-tokoh besar dunia Islam itu membentuk beliau sebagai seorang ilmuwan yang berwibawa dan dihormati,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang juga pesara Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB), berkata sekembalinya ke Terengganu, Sheikh Abdul Malik mengabdikan hidupnya kepada dakwah dan pendidikan dengan menubuhkan pusat pengajian di Pulau Manis dan berkembang menjadi antara pusat ilmu Islam yang berpengaruh, menawarkan pengajian dalam bidang akidah, fiqh dan tasawuf serta melahirkan ramai pelajar yang menyebarkan ilmu ke seluruh rantau ini.

“Selain bidang pendidikan, beliau turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran awal Kesultanan Terengganu sebagai penasihat agama kepada Sultan Zainal Abidin I,” katanya.

Sheikh Abdul Malik meninggal dunia sekitar tahun 1736 dan dimakamkan di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu. Hingga kini, warisan ilmu dan dakwah yang ditinggalkannya terus menjadi simbol kecintaan terhadap ilmu serta pengukuhan identiti Islam di Terengganu.

-RI

Tinggalkan komen anda