
Laporan/foto: Genda Sating/Khairul Anwar Ali (Sarawak)
KUCHING, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Berbekalkan minat yang mendalam serta usaha berterusan, Dr. Melvina Chung Hui Ching berjaya membuktikan bahawa kekangan menguasai bahasa Melayu sejak kecil bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan sehingga ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa).
Beliau berkata dirinya pada mulanya tidak fasih berbahasa Melayu ketika di bangku sekolah rendah kerana dibesarkan dalam keluarga berbangsa Cina yang menggunakan dialek Hakka di rumah dan bahasa Mandarin di sekolah.
Menurutnya, kekangan kewangan keluarga yang tidak membolehkan beliau mengikuti kelas tuisyen turut menjadi antara faktor kelemahan penguasaan bahasa Melayu pada peringkat awal.
Namun, beliau mula meminatai bahasa ibunda itu ketika berada di tingkatan peralihan.
“Di situlah saya mengenali Cikgu Ros yang banyak memberi dorongan dan membimbing saya sehingga timbul keinginan untuk mendalami serta menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Minat tersebut terus dipupuk apabila beliau mengikuti kelas tambahan bahasa Melayu di rumah gurunya ketika di tingkatan empat dan lima.
“Setiap kali menghadapi kemusykilan, saya akan merujuk guru bahasa Melayu. Malah, saya sanggup membaca Tatabahasa Dewan untuk memperbaiki penguasaan bahasa kerana saya percaya usaha yang berterusan akan membuahkan hasil,” ujarnya.
Melvina yang pernah berkhidmat sebagai guru sekolah rendah selama tujuh tahun kini bertugas sebagai pensyarah akademik di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR), Kota Samarahan.
Wanita ini memiliki Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana Pendidikan dalam bidang Kurikulum dan Pedagogi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), serta Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajian Melayu daripada IPGKTAR.
Sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran beliau, Melvina ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2022.
Pada tahun 2025 pula, beliau dilantik sebagai juruaudit dalaman Audit Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Kisah kejayaan Melvina membuktikan bahawa penguasaan bahasa boleh dipertingkatkan melalui minat, kesungguhan dan bimbingan guru, sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan seharian dan urusan rasmi.
-FN



