
Laporan/Foto: Hamidah Len (Sabah)
KOTA KINABALU, 23 Jun (MalaysiaAktif)– Sebanyak 1,493 premis di Sabah kini menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memperluas akses rakyat termasuk di kawasan pedalaman untuk menebus bantuan keperluan asas menggunakan MyKad.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peluasan rangkaian premis itu adalah sebahagian pendekatan reformasi penyampaian bantuan tunai bersasar bagi memastikan dana kerajaan dibelanjakan secara lebih cekap, cepat dan terus kepada keperluan asas rakyat.
“Kerajaan akan terus menambah penyertaan premis dalam program berkenaan termasuk kedai runcit kecil bagi memperluaskan lagi liputan SARA kepada rakyat.
“Penggunaan MyKad membolehkan penerima yang layak menebus bantuan secara terus di premis berdaftar tanpa memerlukan kaedah atau dokumen tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan dan sesi ramah mesra dengan penerima SARA di pekan Manggatal, hari ini.
Sementara itu, suri rumah dari Kampung Lobou Bukit Menggatal, Marina Yantis, 50, berkata bantuan SARA mengurangkan beban perbelanjaan harian keluarganya sejak mula menerima manfaat program berkenaan.
“Bantuan SARA digunakan untuk mendapatkan barangan keperluan asas di beberapa premis sekitar Menggatal.
“Harapan saya supaya bantuan ini diteruskan dan kalau boleh ditambah sedikit lagi kerana harga barang sekarang semakin mahal terutama bagi keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya.
Bagi pemilik perniagaan kedai runcit Tsen Kyun Kee pula, Louis Tsen, 39, penyertaannya dalam program SARA sejak tahun lalu memberi kesan positif kepada perniagaan dengan peningkatan jualan antara 10 hingga 15 peratus.
“Sekarang 60 hingga 70 pelanggan guna SARA setiap hari. Dalam sebulan boleh cecah lebih 2,000 pelanggan,” ujarnya.
Menerusi SARA, rakyat mempunyai lebih 150,000 pilihan produk yang ditawarkan di 13,500 premis berdaftar di seluruh negara.
-RJ-




