
Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/Kolej Komuniti Rompin
ROMPIN, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 15 pelajar Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Puteri, Kuala Rompin didedahkan kepada kemahiran industri hospitaliti menerusi Kursus Kemahiran Asas Food & Beverage Service Operation (Siri 6) di Kolej Komuniti Rompin (KKRP), semalam.
Kursus tersebut memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada para peserta mengenai aspek pengurusan perkhidmatan bufet serta kaedah pengendalian tetamu yang menjadi antara kemahiran penting dalam industri hospitaliti.
Tenaga pengajar kursus yang juga Ketua Program Operasi Perhotelan KKRP, Ali Jalal Mohd Hatta @ Azman berkata pendedahan awal terhadap kemahiran industri amt penting bagi membantu MBPK membina potensi diri dan meningkatkan kebolehpasaran mereka pada masa hadapan.
“Setiap pelajar mempunyai keupayaan dan keistimewaan tersendiri. Melalui latihan praktikal seperti ini, mereka bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal tetapi turut membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan disiplin kerja yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan.
“Penguasaan kemahiran asas dalam operasi perkhidmatan makanan dan minuman mampu menjadi platform kepada para peserta untuk meneroka peluang kerjaya atau menjalankan perniagaan kecil pada masa akan datang,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Bagi sebahagian besar peserta, pengalaman tersebut bukan sahaja membuka ruang pembelajaran baharu, malah meningkatkan keyakinan diri untuk berinteraksi dengan orang ramai serta memahami kehendak pelanggan dalam situasi sebenar.
-FN




