
Laporan/foto: Kartini Abd Aziz (Muallim)/PKD Muallim
TROLAK, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti Felda Trolak Timur terus diperkasa menerusi pelancaran Communication for Behavioural Impact (COMBI) sebagai inisiatif menggalakkan penglibatan penduduk dalam usaha memantau, mencegah dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara berterusan.
Pelancaran COMBI Felda Trolak Timur itu berlangsung sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Daerah Muallim 2026 di Felda Trolak Timur dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pemimpin komuniti serta penduduk setempat.
Program berkenaan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Muallim, Ahmad Munir Ishak yang berkata penglibatan komuniti amat penting dalam usaha pencegahan serta kawalan penyakit bawaan nyamuk Aedes.
“Luangkan masa hanya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan membersihkan persekitaran rumah, kebun dan tempat kerja dari sebarang bekas yang boleh menakung air jernih,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian, Rabu lepas.
Tambah beliau lagi, melalui pelancaran COMBI Felda Trolak Timur, diharapkan lebih ramai penduduk akan terlibat secara aktif dalam usaha menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Beliau turut berpendapat kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan masyarakat setempat amat penting bagi mewujudkan komuniti yang sihat, selamat dan bebas daripada ancaman denggi.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program termasuk ceramah kesedaran denggi, pameran kesihatan, pemeriksaan kawasan berisiko pembiakan nyamuk serta pertandingan Explorace Cari dan Musnah di mana para peserta akan mencari bahan buangan yang mempunyai risiko tinggi bagi pembiakan jentik-jentik.
Turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Salina Samsudin.
-AA-




