Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

325 Generasi Baharu FELDA Kota Gelanggi Terima Hak Milik Tanah

By 18 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran (Lipis)

LIPIS, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Impian 325 generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan apabila menerima hak milik tanah menerusi Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu FELDA (STRBGF) bagi FELDA Kota Gelanggi 1, 2 dan 4, Mukim Pulau Tawar, Jerantut.

Majlis Penyerahan Hak Milik STR Generasi Baharu FELDA Kota Gelanggi yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Jerantut semalam disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima sambil menyifatkan pemberian hak milik berkenaan sebagai bukti komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam menjaga kebajikan warga FELDA.

“Bagi warga FELDA Kota Gelanggi 3, Insya-Allah giliran anda akan menyusul dalam masa terdekat. Sehingga kini, terdapat lebih 40,000 peneroka di seluruh Pahang dan hampir 95 peratus daripada mereka telah berjaya memperoleh hak milik tanah FELDA masing-masing.

“Kita juga akan terus berusaha menyelesaikan pelbagai isu rakyat, termasuk masalah bekalan air. Pada masa sama, saya menyeru seluruh masyarakat agar terus mengekalkan perpaduan kerana rakyat yang bersatu merupakan tunjang kepada kestabilan dan kemakmuran negeri serta negara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut semalam.

Sementara itu, salah seorang penerima dari FELDA Kota Gelanggi 2, Muhammad Rizwan Arbain, 48, melahirkan rasa syukur dan terharu apabila impian generasi baharu FELDA untuk memiliki tanah akhirnya menjadi kenyataan.

Menurutnya, pengiktirafan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada generasi kedua FELDA, malah turut melibatkan generasi ketiga yang bakal menikmati peluang sama pada masa hadapan.

-AA-

Tinggalkan komen anda