Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tapak Pelupusan Sanitari Lundu Perkukuh Pengurusan Sisa Pepejal Kaedah Moden

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Aishah Latip (Lundu)

LUNDU, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Projek Tapak Pelupusan Sanitari Lundu bakal memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal di daerah Lundu, Sematan dan sebahagian kawasan Bau menerusi kaedah pelupusan yang lebih moden.

Kemudahan baharu ini amat diperlukan bagi menampung peningkatan sisa pepejal harian memandangkan tapak pelupusan sedia ada kini semakin menghampiri had kapasiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menegaskan projek berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang yang penting bagi memastikan kebersihan, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Projek ini bukan sekadar membina sebuah tapak pelupusan baharu tetapi melambangkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Lundu di Nursery POLIMA Forest Siluk, semalam.

Pengurusan sisa pepejal yang baik katanya bukan sahaja memastikan persekitaran lebih bersih malah mampu melindungi sumber air, mengurangkan pencemaran dan menjamin kesihatan masyarakat.

Tambah beliau berdasarkan statistik semasa, setiap rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 1.17 kilogram sampah sehari manakala negara menjana hampir 39,000 tan sisa pepejal setiap hari, katanya.

“Tapak pelupusan sanitari ini akan membolehkan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara lebih tersusun, selamat dan mesra alam untuk tempoh jangka panjang,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Lundu, pihak perunding, kontraktor serta semua agensi yang terlibat atas komitmen menjayakan projek tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya bersama-sama memelihara kebersihan dengan mengamalkan pengurusan sisa yang bertanggungjawab demi kelestarian masa depan.

Billy berharap projek itu menjadi pemangkin kepada pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan sekali gus memperkukuh imej Lundu sebagai sebuah daerah yang progresif.

-RJ-

Tinggalkan komen anda