Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kolej Komuniti Paya Besar Pilihan Generasi Muda Melalui Pendidikan TVET

By 1 minute yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farah Shaherza (Kuantan)/KKPB

KUANTAN, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) terus menjadi pilihan generasi muda apabila lebih 100 siswa baharu menyertai Minggu Transformasi Siswa (MTS) di Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB), di sini, yang berlangsung bermula 23 Jun hingga semalam.

Program berkenaan menjadi platform kepada pelajar baharu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran pengajian tinggi, selain memahami sistem pembelajaran di kolej komuniti yang menekankan latihan berasaskan amali serta keperluan industri semasa.

Antara pelajar yang memilih laluan TVET ialah Yap Xuan Fong, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih yang mengikuti Program Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan.

Beliau menyifatkan pelbagai aktiviti sepanjang minggu orientasi itu berjaya membina keyakinan diri selain mengeratkan hubungan antara pelajar pelbagai kaum.

Menurutnya, pengalaman mengikuti MTS turut membuka peluang untuk mengenali rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang serta memahami budaya dan cara pembelajaran di peringkat pengajian tinggi.

“Sepanjang program berlangsung, saya dan rakan-rakan didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi taklimat akademik, pembangunan sahsiah, aktiviti berkumpulan, serta program pembinaan jati diri bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus.

“Kami juga turut didedahkan dengan sistem pembelajaran di kolej komuniti yang menekankan pendekatan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) berasaskan amali, selaras dengan keperluan industri semasa,” katanya.

Pelaksanaan MTS di KKPB membuktikan peranan kolej komuniti dalam menyediakan laluan pendidikan yang lebih inklusif kepada lepasan sekolah, khususnya melalui pendekatan TVET yang memberi penekanan terhadap kemahiran praktikal dan kebolehpasaran graduan.

-AA-

Tinggalkan komen anda