Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Sambutan Maal Hijrah 1448H Perkukuh Institusi Keluarga Komuniti MADANI Padang Pak Su Man

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Muhammad Arief Hasbollah Amin (Terengganu)

MARANG, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan Maal Hijrah 1448H Komuniti MADANI Padang Pak Su Man menerusi Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) menerapkan penghayatan nilai Islam serta memperkukuh institusi keluarga dalam kalangan komuniti.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengurusan Keluarga Cemerlang’ berkata keluarga yang kukuh merupakan asas kepada pembentukan masyarakat berdaya tahan.

“Justeru itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak melalui komunikasi yang berkesan, kasih sayang serta penerapan nilai agama bagi menghadapi cabaran kehidupan masa kini.

“Pembinaan keluarga cemerlang bukan sahaja melahirkan generasi berakhlak mulia, malah menjadi pemangkin kepada lahirnya masyarakat MADANI yang bersatu padu, berkualiti dan sejahtera,” katanya di Dewan Gemilang, Asrama Darul Falah, Bukit Payung, di sini semalam.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Negeri Terengganu, menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengurusan Keluarga Cemerlang’.

Menurut Ketua Komuniti MADANI Padang Pak Su Man Shuahami Endut, program seumpama itu memberi manfaat besar kepada masyarakat kerana membuka ruang untuk menimba ilmu dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.

“Nilai yang dikongsikan amat relevan dengan cabaran semasa dan dapat membantu ibu bapa serta masyarakat membina keluarga yang lebih harmoni,” katanya.

Sementara itu, penghuni Asrama Anak Yatim Darul FalahNur Wahida Abdul Wahid, 17, berpendapat program tersebut memberi motivasi kepada dirinya.

“Ceramah tersebut memberi inspirasi untuk menjadi anak yang lebih bertanggungjawab serta menghargai didikan dan kasih sayang keluarga serta penjaga,” katanya.

Program itu turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat dalam memperkasa agenda pembangunan keluarga, di samping menyemarakkan semangat Maal Hijrah melalui penghayatan nilai-nilai Islam.

-RI

Tinggalkan komen anda