Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Ambulans Laut Langkawi Perkukuh Akses Kesihatan Komuniti

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nazri (Langkawi)

LANGKAWI, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Pembelian Ambulans Laut Langkawi dengan peruntukan sebanyak RM5.5 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) akan memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan kecemasan, khususnya bagi penduduk yang memerlukan rawatan lanjut di hospital rujukan di tanah besar.

Menurut Menteri Kewangan II merangkap Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penyediaan ambulans laut itu merupakan pelaburan strategik yang melengkapkan sistem respons kecemasan kesihatan di Langkawi, sekali gus mempercepatkan pemindahan pesakit kritikal seperti kes serangan jantung, kemalangan dan kecemasan perubatan lain.

“Selain memberi manfaat kepada komuniti setempat, kemudahan ini turut mengukuhkan kesiapsiagaan Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa dengan menyediakan sokongan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada pelancong dan penganjur acara bertaraf dunia,” katanya pada Majlis Penyerahan Peralatan Hospital Sultanah Maliha, di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Seri Haji Iskandar Datuk Mohd Kaus, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr. Nor’Aishah Abu Bakar dan Pengarah Hospital Sultanah Maliha Dr. Aniza Ahmat.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM700,000 bagi pembelian peralatan kesihatan, perubatan dan keselamatan untuk Hospital Sultanah Maliha pada tahun 2026 bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di Langkawi.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Hashim Azan, 44, dari Padang Matsirat, menyifatkan penyediaan bot ambulans laut yang akan diuruskan Hospital Sultanah Maliha (HSM) itu amat diperlukan penduduk.

“Saya berharap LADA akan terus melaksanakan lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada masa hadapan.

Penyediaan bot ambulans laut ini membuktikan komitmen kerajaan melalui LADA dalam memperkukuh sistem kesihatan di Langkawi demi kesejahteraan penduduk serta meningkatkan keyakinan pelancong terhadap kemudahan kesihatan di pulau itu.

-RI

Tinggalkan komen anda