
Laporan/foto: SitiHajar/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah penubuhan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah di Kampung Kenang, Sungai Siput Utara merupakan mercu tanda penting dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak.
“Bermula dengan pusat pengajian dakwah dan fardu ain, kemudian berkembang sehingga menjadi pusat pendidikan pertama di Negeri Perak yang menyediakan kurikulum yang seragam bagi pembelajaran akademik dan agama.
“Setelah melalui tempoh masa lebih tiga dekad, sekolah ini telah melakar legasi dan sejarah, serta mencipta kejayaan membangunkan masyarakat Orang Asli, khususnya di Negeri Perak,” titah baginda.

Sultan Nazrin berkenan meninjau sesi pembelajaran di SMAR Nurul Hidayah serta menyantuni warga pendidik dan para pelajar.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah, Kampung Kenang, Sungai Siput (U), di sini semalam.
Titah baginda, pendidikan merupakan kunci utama yang membuka pintu kemajuan, membentuk akhlak, memperkukuh jati diri dan mengangkat martabat sesebuah masyarakat.
“Melalui ilmu, seseorang dapat mengenal Tuhannya, memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah, serta berupaya memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negaranya.
Dalam pada itu Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian memberangsangkan anak-anak Orang Asli di sekolah berkenaan, malah ada di antara mereka yang telah kembali ke lapangan masyarakat untuk menyumbangkan tenaga bagi memajukan pendidikan serta pemikiran masyarakat setempat.
Baginda bertitah agar prasarana baharu SMAR Nurul Hidayah ini akan menyuntik semangat kepada barisan pendidik untuk mempertingkatkan mutu pengajaran, sekali gus menyalakan azam para pelajar untuk terus menuntut ilmu dan melahirkan lebih ramai golongan profesional Islam yang berpaksikan nilai-nilai Rabbani.
-RI




