Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

BNM Minta Orang Ramai Buat Laporan Jika Masih Dicaj RM1 Ketika Pengeluaran Tunai

By 10 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Bank Negara Malaysia (BNM) meminta orang ramai membuat laporan sekiranya masih dikenakan fi RM1 ketika membuat pengeluaran wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) yang dimiliki bank.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia bagi membolehkan BNM mengambil tindakan susulan kepada bank-bank berkenaan.

“Sekarang, semua ATM yang dimiliki bank telah dikecualikan fi. Tetapi, ATM yang tidak dimiliki oleh bank, dimiliki oleh _private_ (masih mempunyai fi). Ini adalah syarikat-syarikat yang mempunyai perjanjian komersial yang berbeza daripada bank.

“Daripada 16,000 ATM seluruh negara, 84 peratus dimiliki oleh bank. Baki, syarikat inilah yang (masih) mengenakan fi. Ini adalah bisnes model dan ada perjanjian komersial,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau telah menghubungi BNM untuk mendapatkan penjelasan berkait beberapa isu yang diperkatakan di media sosial susulan penguatkuasaan pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank bermula semalam.

“Asasnya, (ia) bertujuan memberi sedikit kelegaan dengan mengetepikan kos pengeluaran tunai, wang tunai di antara bank menggunakan ATM yang dimiliki oleh bank.

“Langkah ini membolehkan para pelanggan untuk mengeluarkan wang tunai daripada mana-mana ATM yang dimiliki bank tanpa dikenakan fi RM1,” katanya.

Beliau berkata inisiatif tersebut akan mengembangkan akses pengguna untuk mengeluarkan wang tunai di rangkaian ATM yang dimiliki bank di seluruh negara.

Pada 15 Jun lalu Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama mengumumkan pengecualian caj pengeluaran wang tunai di mana-mana ATM atau mesin kitar semula pintar (SRM).

Inisiatif ini bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan harian rakyat dan meningkatkan keterangkuman kewangan dengan membolehkan pengeluaran tunai antara bank dilakukan secara percuma tanpa caj RM1.

-FN

Tinggalkan komen anda