
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing, di sini semalam.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pembinaan balai itu selaras dengan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara 2021 – 2030 serta Pelan Strategik 2021 – 2023 bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan kebombaan dan pengurusan bencana.
“BBP Sungai Lembing dibina di atas tapak seluas tujuh ekar dengan kos RM6 juta merupakan balai bomba kategori D yang ke-29 di Pahang dan mula beroperasi pada 15 Februari lalu.
“Pembukaan balai itu memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 penduduk Sungai Lembing dan kawasan sekitarnya dengan mempercepatkan masa tindak balas kecemasan, selain meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko seperti kebakaran hutan, banjir dan operasi menyelamat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata sebelum ini kawasan tersebut bergantung kepada BBP Indera Mahkota yang terletak kira-kira 36.7 kilometer dari Sungai Lembing.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memperkukuh perkhidmatan kebombaan menerusi penyediaan infrastruktur moden, kelengkapan yang berdaya tahan serta pemerkasaan kompetensi anggota.
Bagi negeri Pahang, tujuh projek pembangunan fasiliti kebombaan sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Malaysia Ke-13, termasuk pembangunan balai baharu, kerja naik taraf serta pembinaan semula beberapa balai bomba di negeri ini.
-FN




