Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lebih 500 Atlet Sertai Kejohanan Wushu Terbuka Mukah

By 24 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 500 atlet dari seluruh Sarawak dijangka berhimpun di Dewan Suarah MESRA Mukah bagi menyertai Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2026 bermula 11 hingga 12 Julai ini.

Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip berkata kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkasa pembangunan sukan wushu di negeri ini.

“Penganjuran kejohanan ini memberi peluang kepada atlet mempamerkan bakat dan kemahiran, selain membolehkan masyarakat mengenali dengan lebih dekat seni mempertahankan diri wushu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai kaum,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kejohanan di Pejabat Daerah Mukah, kelmarin.

Menurut Peleadzman, latihan wushu mampu meningkatkan kekuatan fizikal, daya tahan, kelenturan dan koordinasi badan di samping membentuk disiplin, semangat juang serta keyakinan diri peserta.

“Pengalaman bertanding turut mengajar atlet mengawal tekanan, meningkatkan keyakinan terhadap kebolehan sendiri serta berani menghadapi cabaran,” tambahnya.

Beliau berharap kerjasama semua pihak berkepentingan dapat memastikan kejohanan berlangsung lancar serta mencapai matlamat melahirkan lebih ramai atlet wushu yang berdaya saing.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wushu Bahagian Mukah Ho Ing Siong berkata kejohanan tersebut turut menjadi landasan mengeratkan hubungan antara atlet pelbagai daerah melalui perkongsian pengalaman dan semangat kesukanan.

“Selain mengukuhkan persahabatan, kejohanan ini membuka peluang mengenal pasti atlet berpotensi untuk diketengahkan mewakili daerah, negeri dan negara pada masa hadapan,” jelasnya.

Ho turut merakamkan penghargaan atas sokongan Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato’ Hanifah Hajar Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine dan ADUN Balingian Abdul Yaakub Arbi.

Tambahnya, penganjuran kejohanan itu menerima peruntukan RM20,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Geran Padanan Sukan (GPS), selain sokongan Kerajaan Sarawak melalui MySED dan Sarawak Sports Council (SSC).

-RJ-

Tinggalkan komen anda