Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program MyLesen B2, MyB2S Luas Akses Lesen Memandu Rakyat

By 9 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sumardi Sugiman (Limbang)

LIMBANG, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Program MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) terus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat memperoleh lesen memandu secara percuma bagi meningkatkan kebolehpasaran kerja serta menggalakkan pemilikan lesen yang sah.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, melalui kerjasama kementeriannya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), inisiatif tersebut bukan sahaja mengurangkan beban kewangan malah memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki lesen sebagai syarat penting mendapatkan pekerjaan.

“Melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), peluang memiliki lesen memandu kini dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat termasuk mereka yang tinggal di bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Waterfront Limbang, semalam.

Menurut Hasbi, Program MyB2S hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan pula menyasarkan penyertaan 60,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM18.5 juta.

Di Sarawak, seramai 2,600 pelajar dijangka menerima manfaat menerusi inisiatif tersebut sebelum tamat persekolahan bagi membantu mereka memasuki alam pekerjaan dengan lebih bersedia tanpa menanggung kos lesen.

Pada majlis sama, Kementerian Pengangkutan bersama JPJ turut mengadakan Program Pertukaran Topi Keledar Secara Percuma bagi menggalakkan penggunaan topi keledar yang memenuhi piawaian keselamatan.

“Kita berharap inisiatif ini meningkatkan kesedaran penunggang motosikal tentang kepentingan menggunakan topi keledar yang selamat sebagai langkah mengurangkan risiko kecederaan akibat kemalangan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Hasbi mengingatkan semua penerima lesen supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengamalkan pemanduan berhemah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda