
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026, serta merasmikan Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang, Jumaat lalu.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 5.15 petang disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Rahimi Ismail.

Tengku Mahkota Pahang berkenan beramah mesra dengan peniaga Pasar Sera di tapak program tersebut.
Menurut Fadzli, pembinaan dan pengoperasian KOMBES negeri Pahang adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti bagi menyokong pembangunan generasi yang berdaya tahan, berkemahiran, inovasif dan berintegriti.
“Kemudahan ini juga diyakni mampu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi yang menyokong aspirasi negeri ke arah melahirkan modal insan kelas pertama,”katanya
Seramai 14 penerima anugerah daripada beberapa kategori menerusi Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026 diraikan pada majlis tersebut sebagai menghargai jasa, sumbangan dan komitmen mereka dalam pembangunan belia serta khidmat kepada masyarakat, khususnya di negeri Pahang.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Sri Nazri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Azura Abidin.
-RI




