
Oleh: Fadzil Azma Mat Saat
BAGAN DATUK, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Tanggal 9 Januari 2017 terpahat sebagai satu sejarah apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengisytiharkan Daerah Bagan Datuk, sebagai daerah ke-12 di negeri ini.
Kira-kira 10,000 penduduk daerah Bagan Datuk dan Teluk Intan membanjiri Dewan Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk pagi semalam bagi menyaksikan sendiri Sultan Nazrin menyempurnakan pengisytiharan tersebut.
Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; Puan Besar Perak, Raja Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak, dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Zambry, pembangunan di sekitar Daerah Bagan Datuk kini lebih rancak.
“Pembangunan di Daerah Bagan Datuk menjadi rancak apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Sejumlah RM1.174 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK Ke-11) melibatkan 11 projek yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Antaranya ialah pembinaan Politeknik Bagan Datuk berjumlah RM220 juta dan Projek Perumahan Rakyat Bagan Datuk berjumlah RM79.77 juta,” ujar Zambry.
Tambahnya, terdapat beberapa projek berimpak tinggi turut bakal dilaksanakan.
“Antaranya, pembinaan pusat pentadbiran daerah yang baharu melibatkan keluasan sekitar 4,000 ekar, menaik taraf jeti serta dataran komuniti Bagan Datuk dan mewujudkan Taman Perindustrian Berat Negeri Perak yang bakal mewujudkan sebanyak 18 ribu peluang pekerjaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berterima kasih kepada DYMM Sultan Nazrin yang sudi mencemar duli bagi mengisytiharkan Daerah Bagan Datuk.
“Rakyat di Bagan Datuk diseru untuk turut sama menyokong segala pembangunan yang dibawa serta mengelak untuk memberikan tohmahan kepada kerajaan negeri dan persekutuan,” ujar Ahmad Zahid.
Sebelum ini, Bagan Datuk terletak di bawah pentadbiran Daerah Hilir Perak yang pusat pentadbirannya di Teluk Intan.
Berkeluasan 94,969.892 ekar, Bagan Datuk diwartakan sebagai daerah pada 15 Jun 2016. Empat mukim merangkumi daerah baharu ini iaitu Bagan Datuk, Rungkup, Hutan Melintang dan Teluk Bharu.
-DZ