
Laporan dan foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
SEMATAN, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Bukan sahaja Telok Melano akan dihubungkan melalui jalan darat menerusi pembinaan lebuh raya Pan Borneo malah sebuah Menara dan Perkhidmatan Telekomunikasi juga kini didirikan bagi memenuhi hasrat bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu seramai 2000 penduduk di sekitar Telok Melano dan kampung berdekatan akan dapat menikmati kemudahan komunikasi yang lebih baik.
“Kawasan Telok Melano ini telah lama terputus hubungan dengan masyarakat luar. Pihak Safoca telah membina menara ini dengan bajet RM satu juta supaya mereka dapat menggunakan Internet untuk meneruskan usaha perdagangan, pelancongan dan sebagainya.
“Kita sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perhubungan bandar dan luar bandar supaya mereka dapat mempergiatkan diri dalam perdagangan dan keusahawanan,” ujar Rundi selepas Majlis Pelancaran Menara dan Perkhidmatan Telekomunikasi Telok Melano, di sini hari ini.

Stephen Rundi Utom ketika merasmikan Menara dan Perkhidmatan Telekomunikasi Kampung Telok Melano, Sematan
Tambah Rundi, usaha yang diilhamkan oleh arwah Tok Nan ini berupaya untuk mempertingkatkan sumber ekonomi masyarakat luar bandar.
“Kita mahu mempertingkatkan ekonomi luar bandar seperti yang dilihamkan oleh arwah Tok Nan. Saya ingat beliau selalu mengatakan kita kalau mahu cari orang miskin, kita pegi ke luar bandar.
“Bukan itu sahaja, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Lebuh Raya Pan Borneo sepatutnya dibina dari Sematan ke Lawas sahaja tetapi setalah diminta oleh arwah Tok Nan untuk disambung ke Telok Melano dengan pertambahan RM500 juta lagi, projek ini akan dilaksanakan,” ujarnya lagi.
Menurut Pengarah Urusan SAFOCA, Mohamed Zaid Mohamed Zaini, kini penduduk Melano dapat menggunakan perkhidmatan komunikasi bagi merapatkan jurang digital yang ada.
“Pagi ini merupakan detik bersejarah bagi penduduk Telok Melano. Dengan siapnya Menara ini, Celcom Digi, dan Maxis boleh menawarkan 4G dan LTE. Ini merupakan pemangkin kepada peluang sosioekonomi kepada penduduk tempatan.
“Sekolah juga boleh akses Internet dan menaikkan mutu pembelajaran serta mutu kehidupan. Perniagaan ‘homestay’ juga dapat dikembangkan kerana Internet mampu mengubah komuniti dengan memantapkan perhubungan walau di mana kita berada,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Perigi yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Winnie Chin berkata, kemajuan teknologi memang dapat dirasai namun sering terganggu ekoran masalah cuaca.
“Kadang-kadang jika hujan akan timbul masalah. Talian di kampung kami menjadi terhad. Dalam rumah pun saya perlu letak telefon bimbit saya di satu sudut kerana di situ sahaja ada talian,” jelasnya.
Berkongsi pendapat yang sama, Ng Sher Ley berkata, capaian Internet yang baik bukan sahaja dapat memudahkan hubungan komunikasi, malah membantu anak-anak untuk mencari maklumat dan membuat penyelidikan bagi menyiapkan kerja rumah.
“Pernah juga kami perlu pergi ke Lundu untuk mendapatkan Internet untuk mencari maklumat persekolahan anak. Dahulu kami ada masukkan talian telefon Telekom, namun kami hentikan perkhidmatan kerana selalu tiada talian,” ujarnya.
Pada majlis yang sama, Rundi memberitahu masalah kekangan capaian ini akan cuba diatasi menjelang 2030 oleh sebab kekangan bentuk muka bumi di Sarawak yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang.
– AH