Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Biro Wanita Harmonikan Rumah Panjang Tarang

By 15 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 Laporan dan foto oleh: Mahdini Jaini

MIRI, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Wanita memiliki peranan penting dalam mencorakkan pembangunan institusi keluarga di rumah-rumah panjang di negeri Sarawak.

Amalan bermusyawarah dalam mengukuhkan penubuhan biro serta sikap saling membantu menjadikan Biro Wanita Rumah Panjang Tarang di Sungai Mulis, Suai di Niah terus bersatu mendukung kemajuan sosial di rumah panjang tersebut.

“Kami bangun seawal 2.00 pagi untuk memasak hidangan tradisional masyarakat Iban iaitu ‘selupis’ dan lemang ‘buluh pansoh’. Kaum wanita di Rumah Tarang ini juga telah bergotong-royong beberapa hari sebelum majlis untuk menceriakan suasana rumah panjang.

Biro Wanita sedang sibuk menyediakan hidangan kepada tetamu semasa majlis perasmian Komuniti 1Malaysia Rh Tarang

Biro Wanita sedang sibuk menyediakan hidangan kepada tetamu semasa majlis perasmian Komuniti 1Malaysia Rh Tarang

“Sudah menjadi kebiasaan kaum wanita yang juga ahli Biro Wanita untuk melakukan acara masak-memasak beramai-ramai apabila berlakunya keramaian di rumah panjang kami.

“Tiada istilah penat kerana kami mengamalkan kesepakatan dalam menyudahkan sesuatu kerja dan selalunya kami akan bergurau senda sepanjang bergotong-royong bagi menghilangkan rasa penat.

Demikian kata Pengerusi Biro Wanita Rumah Tarang, Kanching ak Kimen yang merupakan penyelaras jamuan dan persembahan kebudayaan yang ditemui semasa Majlis Perasmian Komuniti 1Malaysia Rumah Tarang pada Jumaat.

‘Selupis’ dan lemang ‘buluh pansuh’ yang menjadi makanan tradisi masyarakat Iban

‘Selupis’ dan lemang ‘buluh pansuh’ yang menjadi makanan tradisi masyarakat Iban

Sejak penubuhannya pada 2012, Biro Wanita di Rumah Tarang banyak memberikan sumbangan tenaga dan kemahiran dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di Rumah Tarang.

Sementara itu, menurut Tuai Rumah Tarang, Stephen Tarang, jumlah ahli Biro Wanita sehingga kini seramai 20 orang dan masing-masing memiliki bakat mereka dalam bidang masakan dan penghasilan kraftangan kaum Iban.

Mereka sering terlibat dalam penganjuran aktiviti-aktiviti sosial di sekitar Suai dan antara program yang pernah disertai ialah Program Randau Ruai Komuniti 1Malaysia bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Kembara Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Niah pada tahun lepas.

Semasa majlis perasmian K1M tersebut ADUN Samalaju Encik Majang Renggie turut menyumbang sebanyak RM3,000 kepada pertubuhan tersebut untuk tujuan penyelarasan aktiviti biro.

-SF
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda