
Laporan dan Foto oleh: Sharman Subramaniam (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Pelancaran Program NBOS My Beautiful Neighborhood (MyBN) dilaksanakan serentak di seluruh negara semalam untuk menanamkan semangat kejiranan dan gotong-royong, di peringkat taman khususnya.
Menurut seorang penduduk di sini, Muhd Ammar Rosdi, 20, golongan belia perlu mengambil bahagian dalam program gotong-royong ini kerana selain mengekalkan persekitaran yang bersih ia juga mengeratkan hubungan antara masyarakat.
Seorang lagi penduduk, Mohd Kamal Ariffin Abdul Rahman, 44, pula berkata, “Program hari ini memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya penduduk setempat kerana dapat mewujudkan semangat kerjasama antara masyarakat.”
Jelasnya, program ini juga memberi kesedaran kepada masyarakat akan semangat gotong-royong serta usaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam membasmi denggi.
Sementara itu pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Hasbullah Shafie, melihat program ini sebagai inisiatif yang baik kerana konsep gotong-royong perlu diteruskan melibatkan pelbagai agensi di peringkat akar umbi.
Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan NBOS MyBN Gotong-Royong 2017 ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hadir di Saujana Utama di sini, semalam.
Najib dalam ucapannya menyatakan salah satu tiang utama negara dan ketamadunan negara bergantung kepada struktur sosial.
Beliau berkata,“Jika struktur sosial kita lemah dan longlai, maka runtuhlah rumah yang kita bina.”
“Mudah-mudahan Program MyBN ini bukan sahaja menanam semangat kerjasama, toleransi ataupun lebih daripada itu permuafakatan sesama kita tetapi nilai yang kita tanam iaitu nilai sejagat, nilai humanitarian, nilai kita bersama, nilai kita cinta kepada kebersihan, nilai kita kerjasama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Pada program ini, Najib turut mengumumkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Utama 2 yang mempunyai 42 bilik darjah dan lain-lain kemudahan dengan kos sebanyak RM57.6 juta.
Program ini melibatkan kerjasama semua agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Penduduk yang berkonsepkan NBOS.
Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.