Skip to main content
Berita TempatanSabah

Peserta BI1M Kini Yakin Bertutur Bahasa Inggeris

By 3 November 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Liza Abdullah / Foto: Rosmini Mahyuddin (Sabah)

TAWAU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 216 peserta kini lebih yakin bertutur bahasa Inggeris selepas menghadiri Program Bahasa Inggeris 1Malaysia (BI1M) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di daerah ini pada Ahad.

Peserta Rohana Rasid, 44 yang bekerja sebagai Ketua Pembantu Tadbir amat berterima kasih kepada kawan yang memperkenalkan kepadanta Kelas Bahasa Inggeris secara percuma tersebut.

“Kini saya semakin berkeyakinan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding sebelum ini setelah menghadiri kelas bahasa Inggeris 1Malaysia ini.

Rosmini (dua dari kanan) bersama tenaga pengajar BI1M Tawau

Rosmini (dua dari kanan) bersama tenaga pengajar BI1M Tawau

“Saya juga berasa bangga dan teruja kerana telah terpilih antara lima peserta yang terpilih untuk ujian Cambridge yang dianjurkan oleh Cambridge English Academy,” ujarnya yang mengikuti kelas Foundation for Adult.

Rohana turut menyatakan tenaga pengajar dan rakan-rakan sekelas yang ceria dan sedia membantu menambahkan semangatnya untuk menghadiri kelas yang diadakan pada hujung minggu tersebut.

Program Bahasa Inggeris 1Malaysia (BI1M) merupakan satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama SOLS 24/7 Malaysia.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Sekreteriat BI1M Tawau, Rosmini Mahyuddin berkata bahawa terdapat seramai 398 peserta yang mendaftar untuk menyertai program ini dan seramai 216 orang telah berjaya menamatkan sesi pembelajaran BI1M.

Jelasnya, pelajar dengan kehadiran sebanyak 60 peratus dan mendapat markah 50 peratus ke atas pada ujian akhir akan diberikan sijil pengiktirafan.

Dalam pada itu, peserta, Andi Effa Bongkasa, 34 pula ingin mencabar diri sendiri dan cuba menyesuaikan diri kepada persekitaran yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris dan BI1M ialah salah satu platform untuk mencapai misi tersebut.

Andi kini kerap mengikuti kelas Conversation and Confidence In English dan Public Speaking Skills.

“Saya dapat meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai terutamanya bagi tugasan yang menuntut saya berhadapan dan berkomunikasi dengan peringkat korporat.

“Permulaan agak malu-malu untuk bertutur tetapi semakin mudah dan lancar menyebabkan segala urusan mudah kerana penyampaian mesej yang lebih berkesan,” ujarnya lagi yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah Pengurusan di Universiti Malaysia Sabah.

Program BI1M yang bermula Julai sehingga Oktober tersebut menawarkan dua kelas secara percuma iaitu Asas Bahasa Inggeris (Foundation English) dan Komunikasi Bahasa Inggeris (English Communication).

Pendaftaran sesi baharu BI1M di seluruh Malaysia dilanjutkan sehingga 15 Disember atas permintaan ramai.

Manakala sesi tersebut akan bermula November 2017 dan BI1M Tawau turut menawarkan kelas Komunikasi Bahasa Inggeris khas untuk kanak-kanak berumur 9 tahun ke atas.

SF

Tinggalkan komen anda