
LAPORAN : Idris Sani Saberun / FOTO : Jeffren Malaning (Sabah)
KOTA KINABALU, SABAH, 24 Feb. (Malaysiaaktif) – Jadikan Al-Quran sebagai panduan kearah penyatuan dan perpaduan ummah.

Tun Juhar ketika menyampaikan perutusan sempena MTQ Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dewan Sa’adah Wisma MUIS
Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr. Juhar Mahiruddin berkata, Al-Quran memimpin ke arah penyatuan, kesatuan dan perpaduan ummah sebagai landasan menjayakan apa jua perancangan demi kemajuan negeri dan negara.
“Sebenarnya Al-Quran bermatlamat menjana umat Islam kearah perpaduan iaitu bersatu dan berukhuwah untuk menjamin kesejahteraan ummah.
“Al-Quran juga menjadi wasilah yang bersifat wasyatiyyah untuk meningkatkan syiar Islam ke seluruh masyarakat majmuk dengan lebih berkesan.
“Tidak akan ada kejayaan tanpa adanya perpaduan yang akan mensejahterakan ummah dan negara, kerana itu, ukhuwah perlu dijalin untuk membentuk perpaduan,” katanya.
Jelasnya lagi, untuk mengangkat citra bangsa dan keagungan agama, setiap umat Islam perlu mempertahankan kesatuan dan memperkasakan perpaduan yang selama ini kita bina secara bersama.
“Setiap perbezaan yang muncul hendaklah ditangani mengikut acuan adab dan budaya kita berpandukan panduan yang digariskan oleh agama,” ujarnya.
Tun Dr. Juhar berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Negeri Sabah 1439H/ 2018 di Dewan Sa’adah Wisma MUIS dekat sini pada jumaat.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan hadiah kepada Johan Qari, Mohd Ayub Maidi yang mewakili Bahagian Tawau.

Juhar menyampaikan hadiah kepada Johan Qari, Mohd Ayub Maidi (Tawau) sambil disaksikan Arifin (dual kiri), Musa (tiga kanan) Dan Yeo Boon Hai (kanan).
Johan Qariah pula dimenangi Nurfateen Izzati Rablin yang mewakili Bahagian Pantai Barat Utara.

Juhar menyampaikan hadiah kepada Johan Qariah Nurfateen Izzati Rablin yang mewakili Bahagian Pantai Barat Utara
Johan qari dan qariah, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, pakej menunaikan fardhu haji sumbangan Kerajaan Negeri Sabah, piala iringan, sijil penyertaan dan hadiah iringan berupa sepersalinan pakaian, buku-buku agama sumbangan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Sabah serta seutas jam tangan sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah.
Johan turut mewakilli Negeri Sabah ke MTQ Peringkat Kebangsaan di Wilayah Persekutuan Putra Jaya, sekitar April ini.
Makanala, Nurfateen Izzati turut dinobat sebagai Johan Negeri Terbaik dan menerima wang tunai RM1,000 dan piala iringan.
Naib Johan Qari diraih Afizan Wangkee dari Bahagian Pantai Barat Selatan dan Naib Johan Qariah pula dimenangi Siti Hatijah Marsuki dari Bahagian Tawau, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000, trofi, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Manakala, Muhd Fiqri Muhd Fahmi mewakili Bahagian Pantai Barat Selatan dan Halipah Machu dari Bahagian Pedalaman Bawah diumum sebagai pemenang Tempat Ketiga dan mendapat hadiah wang tunai RM3,000, trofi, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Terdahulu, Ketua Menteri, Musa Aman pada ucapannya mengingatkan masyarakat Islam di negeri ini agar berhati-hati terhadap golongan yang suka mengapi-apikan isu sensitif seperti agama dan perkauman.
“Terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba memecah belahkan perpaduan dan kesatuan Islam dengan pelbagai dakyah dan propaganda.
“Golongan ini menyiram minyak kedalam api untuk membakar perpaduan dan kemakmuran yang kita nikmati selama ini.
“Oleh itu jangan benarkan pihak yang tidak bertanggungjawab ini mengganggu-gugat keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat sesama kita.
“Islam adalah agama kedamaian dan agama yang sentiasa memelihara kemakmuran, kerana perpecahan umpama menempa kehancuran dan kemunduran,” jelas Musa.
Pada majlis tersebut Tun Juhar dan Tan Sri Musa serta hadirin turut disajikan dengan persembahan Nasyid dari Kumpulan Irsa Papar dan sesi tazkirah oleh penceramah dari Mesir, Sheikh Mohamed Abdel Aziz Mahmoud Ghonim.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, merangkat Pengerusi Induk Jawatankuasa MTQ negeri Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd Arif, Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Nor Rizan Thani, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bongsu Aziz Jaafar dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.
- MRR