
Laporan dan foto: Daniel Jong (Seremban)
SEREMBAN, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Program Layar Bestari atau dahulunya dikenali dengan nama ‘wayang pacak’, dihadiri lebih kurang 300 orang penonton di sekitar Padang Awam Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi, malam tadi.
Sambutan baik ini membuktikan usaha Jabatan Penerangan Malaysia menghidupkan semula wayang pacak sebagai satu langkah yang masih relevan.

Turut disampaikan hadiah sempena cabutan bertuah dan acara sukaneka yang diadakan pada sebelah paginya.
Pengarah Penerangan Negeri, Sabarudin Yeop Hamza berkata, Layar Bestari yang diadakan pada waktu malam itu, bukan sekadar untuk berhibur dan bersantai tetapi juga membawa mesej kerajaan pusat berhubung dasar-dasar semasa.
“Setiap penganjuran Layar Bestari turut diselitkan dengan ceramah pendek mengenai dasar kerajaan yang disampaikan oleh kakitangan daripada Jabatan Penerangan.
“Selain itu, kita turut menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk apabila duduk bersama tanpa mengira kaum ketika menonton wayang pacak ini,” katanya sempena program yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Alvin Yap Yew Weng ini.
Sabarudin turut menyatakan bahawa Program Layar Bestari ini akan diteruskan sebagai saluran komunikasi sedia ada untuk menyampaikan maklumat serta penerangan dengan menambahbaik beberapa elemen dan pengisian baharu mengikut kesesuaian peredaran zaman.
Berbekalkan kerusi yang disediakan dan tikar yang dibawa sendiri, pengunjung menonton filem secara santai selain boleh membeli makanan dan minuman di gerai yang disediakan.