
Laporan dan Foto Oleh : Fasharina Kholil, Rasidi Che Sa dan IKM Sik
SIK, 13 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 52 orang terdiri daripada 22 orang staf serta 30 pelajar IKM Sik terlibat dalam Konvoi Merdeka TVET MARA IKM Sik, baru-baru ini.
Para peserta konvoi dilepaskan lebih kurang jam 08.00 pagi oleh Pengarah IKM Sik, Tuan Hj Idris Hj Alias. Konvoi sejauh 33 kilometer ini bermula daripada IKM Sik sehingga ke Madrasah Taqribul Ikhwan FiFutuhhirrahman, Mengkuang Hujung, Baling.
Menurut salah seorang tenaga pengajar IKM, Sandakiah Bakar program ini bertujuan bagi menjalinkan hubungan baik di antara pihak IKM dengan komuniti luar.
Tambahnya lagi, peserta konvoi turut menjalankan khidmat sosial bersama penghuni madrasah tersebut dengan menjalankan kelas asas eletrik di mana 25 orang pelajar terlibat.
“Mereka di ajar berkenaan dengan asas-asas eletrik dan sedikit praktikal dengan memasang “extension plug” daripada awal hingga selesai dan plug tersebut turut diserahkan kepada madrasah,” katanya lagi.
Jelas Sandakiah lagi, aktiviti lain yang turut dijalankan adalah gotong royong membersihkan kawasan persekitaran madrasah.
Ujar Sandakiah lagi, mereka turut menyerahkan sumbangan berupa barangan kelengkapan harian seperti berus gigi, ubat gigi, sabun mandi, tuala dan juga baju.
Konvoi Merdeka ini turut di sertai oleh 15 buah motosikal serta 10 buah kereta.