
Laporan/Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan slogan Maju Bersama yang digagaskan beliau bukan sekadar slogan, ianya akan dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
Menurutnya, program Jelajah Maju Bersama merupakan pertemuan secara langsung dengan penjawat awam yang merupakan pelaksana utama dasar-dasar kerajaan negeri ke peringkat akar umbi.
“Sejak memegang jawatan Menteri Besar pada 19 Jun lalu, saya melihat perlu ada kekuatan bersama di kalangan masyarakat, antara pimpinan politik, penjawat awam dan rakyat,” katanya.

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan di Masjid Amaniah, Batu Caves sempena program Jelajah Maju Bersama di daerah Gombak hari ini.
Justeru katanya, beliau bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) turun padang ke daerah-daerah bagi menunjukkan kebersamaan dan semangat bersatu padu.

Barisan ahli MMKN bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar selepas mengadakan mesyuarat di Pejabat Daerah Gombak, hari ini.
“Ia diperlukan untuk melonjak dan meneruskan pencapaian ekonomi dan pembangunan yang dikecapi sebelum ini,” katanya semasa Majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam sempena program Jelajah Maju Bersama di Pejabat Daerah Gombak, di sini hari ini.

Penjawat awam yang menyertai Perjumpaan Bersama Menteri Besar Selangor sempena program Jelajah Maju Bersama di daerah Gombak.
Sempena program jelajah tersebut, turut diadakan Mesyuarat MMKN, penyerahan sumbangan, jamuan rakyat, lawatan ke Hospital Selayang dan lokasi banjir di Jalan 27 Rawang.
Program di daerah Gombak hari ini merupakan daerah ketiga melaksanakannya selepas Sepang dan Hulu Selangor.
Menyentuh pembentangan Belanjawan 2019 oleh Perdana Menteri bulan depan, Amirudin berharap ianya mampu melonjakkan beberapa perkara, insentif dan potensi.
“Bagi belanjawan Selangor, kita akan fokuskan berkaitan potensi sedia ada di peringkat daerah, kawasan dan lokaliti kerana setiap potensi itu ingin kita kembangkan menjadi nadi penting kepada negara.
“Saya juga akan umumkan inisiatif dan program baru serta sedikit perubahan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) agar kesannya bukan hanya di sudut politik tetapi niat asal untuk kebajikan rakyat,” ujar beliau.