
Laporan/ foto: Mohd Muhaimin Amran (Jasin)
JASIN, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Inisiatif Kerajaan Negeri bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) dan Lembaga Perumahan Melaka telah memberi inspirasi kepada lebih 200 Penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel Jasin dalam menguruskan sisa pepejal di rumah mereka.
Pelancaran Kempen Buang Sampah yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal yang perlu diberi perhatian bermula daripada setiap rumah.
Antara pengisiannya adalah menggalakkan masyarakat prihatin mengasingkan sisa makanan, sisa bahan-bahan terbuang mengikut tong sampah yang telah disediakan supaya dapat memudahkan pihak pengurusan yang dipertanggungjawab menjalankan tugas. Selain itu, masyarakat yang prihatin ini juga bakal menerima ganjaran daripada pihak pengurusan SWcorp.
Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew, langkah ini sangat baik bagi memastikan setiap masyarakat mengambil langkah proaktif secara bersama dan bukan mengharap sepenuhnya kepada pihak yang bertanggungjawab.
Katanya lagi, program ini perlu diteruskan sepanjang tahun dan akan dijadikan program tahunan.
Penyampaian barang keperluan sekolah kepada lebih 140 orang kanak-kanak yang bakal memasuki persekolahan bagi tahun 2019 turut diadakan sebagai memupuk semangat ingin belajar dalam kalangan kanak-kanak
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp Mohamad Diah Wahari serta ketua-ketua Jabatan di Daerah Jasin.