
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 29 April (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu Program Kampung Angkat MADANI (KAM) diselaraskan secara rapi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan Anwar pada Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Perdana Menteri telah menegaskan bahawa usaha di bawah Kerajaan Persekutuan ini perlu diselaras dengan rapi.
“Pertama supaya difahami, ini adalah usaha di peringkat Persekutuan dan diselaraskan juga terutama dengan ahli-ahli parlimen dari kalangan penyokong kerajaan ataupun backbenchers (penyokong kerajaan),” katanya pada Sidang Media Jurucakap Kerajaan, di sini hari ini.
Kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2024 telah memperkenalkan Program KAM bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian telekomunikasi dipertingkatkan melalui pendekatan ‘Keseluruhan Kerajaan’ (Whole of Government).
Pada tahun ini kerajaan menyasarkan pelaksanaan 500 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara berbanding 219 kampung yang dilaksanakan pada tahun 2025.
Sementara itu, Fahmi berkata Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berhasrat agar aktiviti Pusat Komuniti Desa (PKD) akan diselaraskan dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam masa terdekat.
Terdahulu, Ahmad Zahid semasa perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Desa kali ketiga dilaporkan bersetuju memperkukuh ekosistem digital luar bandar melalui kerjasama NADI dan PKD bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada.
-FN





