
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Pembukaan pejabat konsulat Sepanyol di Kota Kinabalu pada Khamis, mampu mengukuhkan hubungan baik antara Malaysia dan Sepanyol.
Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, Jose Miguel Corvinos Lafuente berkata pejabat itu penting untuk memastikan kebajikan sebilangan rakyatnya yang bekerja atau melancong ke negeri ini.
“Selain mengukuhkan hubungan baik, pembukaan pejabat konsulat ini juga bertujuan membantu warga Sepanyol sepanjang berada di negeri ini,” ujarnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Dr Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.
Sementara itu, Konsulat Kehormat Negara Spain, Datuk Peter Paul Yong pula menyatakan langkah itu dapat memperkasakan sektor pelancongan Sabah memandangkan rakyat Sepanyol merupakan pelancong kedua terbesar di dunia selepas Perancis.
Untuk rekod, terdapat 19 pejabat konsulat di Sabah antaranya Konsulat Indonesia, Brunei Darussalam, China, Jepun, Australia, United Kingdom, Romania, Republik Sloviak, Korea, Rusia, Denmark, Austria, Sweeden, Bangladesh, Panama, Republik Czech, Belgium, Perancis dan Jerman.