Skip to main content
HomeViral

16 Sept Tarikh Keramat Pembentukan Negara Berdaulat

By 16 September 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KOTA KINABALU, 16 Sept  — Tarikh 16 Sept harus diingat sebagai tarikh keramat pembentukan negara Malaysia yang berdaulat.

Oleh itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata tarikh yang biasanya disambut sebagai penutupan sambutan Bulan Kemerdekaan, harus mengingatkan semua rakyat untuk membangun dan memakmurkan negara secara bersama.

“Selepas bersama membentuk Malaysia selama 52 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberi pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan,” katanya pada sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini malam ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Musa juga berkata Najib merupakan pemimpin pertama yang sedar akan signifikan tarikh keramat itu dengan mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum di seluruh negara sejak 2009.

Sebelum ini, 16 Sept merupakan cuti umum di Sabah dan Sarawak dan disambut sebagai Hari Yang Dipertua Negeri.

Musa berkata sepanjang 52 tahun ini, tiada siapa boleh menafikan pembentukan Malaysia telah membawa banyak manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat di seluruh negara.

Namun Musa mengingatkan semua pihak supaya mengukuhkan kesatuan sebagai rakyat Malaysia bagi menangani pelbagai cabaran yang pasti wujud pada masa akan datang.

“Ingatlah prasyarat untuk kita berjaya mengharungi segala bentuk cabaran adalah kesatuan dan perpaduan. Penyelesaian isu dan permasalahan perlu bermula dengan kesatuan.

“Kita pernah dilanda pelbagai bentuk cabaran dan sejarah telah membuktikan hanya dengan bersatu kita berupaya keluar daripada masalah, mengharungi ranjau, onak dan duri,” katanya.

 

Tinggalkan komen anda