Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Ikan Lumek Dulu Dipingir Kini Dicari – cari

By 27 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 27 Mei  (Malaysiaaktif) – Dulunya ikan lumek hanya dijeling dengan sebelah mata disebabkan rasanya yang tawar, lembut dan isinya tidak berkualiti. Ikan ini juga malah dibuang ke laut oleh nelayan jika tangkapan terlampau banyak.

Kini ikan tersebut telah mendapat permintaan tinggi dan harganya telah meningkat lima kali ganda selepas zaman milineum. Permintaan tinggi ini disebabkan  pengguna telah beralih cara penggunaan daripada  masakan berasaskan sup lumek kepada pelbagai produk baru yang lebih enak.

Bagi memastikan ikan ini terus popular, syarikat Qalha Enterprise yang beroperasi di Taman Sourabaya Indah Kuching telah mempelbagaikan produk berasaskan ikan lumek. Antara produk yang telah dipasarkan oleh syarikat ini ialah crunchy lumek salai, sambal ikan lumek salai, sambal ikan lumek salai extra pedas, serunding lumek salai dan mini popia lumek salai.

Serunding lumek salai dan snek lumek salai mempunyai rasa yang enak dan sedap dimakan pada waktu santai. Manakala sambal lumek salai boleh dimakan dengan lumek salai atau makanan lain seperti nasik, ulam dan sebagainya.

Didi Iswandi menunjukkan produk-produk jenama Mem Medes ikan lumek

Didi Iswandi menunjukkan produk-produk jenama Mem Medes ikan lumek

Manakala produk terbaru mereka ialah pulut panggang berinti dan roti berinti sambal ikan lumek. Produk ini dijual secara sejuk beku untuk memastikan ia tahan lama dan ia dipasarkan di beberapa buah kedai agen di sekitar Kuching.

Bekalan lumek salai syarikat ini diperolehi daripada pembekal dari Pulai Bruit. Ikan salai lumek Pulai Bruit mempunyai rasa yang amat enak kerana ia disalai menggunakan kayu bakau asli. Bekalan ikan lumek dari kawasan ini sentiasa ada kerana perairan laut di sini mempunyai sumber ikan yang banyak.

Pekerja sedang membuat pulut panggang berinti sambal ikan lumek

Pekerja sedang membuat pulut panggang berinti sambal ikan lumek

Menurut Didi Iswandi Abdul Rasit, pengasas yang juga pemilik syarikat Qalha Enterprise, syarikat tersebut mula beroperasi pada tahun 2016 bertempat di Pusat Inkubator LKIM Kuching. Tujuan syarikat ini ditubuhkan adalah untuk memperkenal dan mengembangkan produk berasaskan ikan lumek di pasaran tempatan

“Kami memulakan operasi ini bagi mempelbagaikan produk di samping membantu para nelayan  memasarkan dan meningkatkan pendapatan mereka,” ujar beliau lagi.

Qalha Enterprise adalah sebuah syarikat bumiputra yang berjaya dalam perniagaan Industri Kecil dan Sederhana selepas memenangi Pertandingan Produk Inovasi Akar Umbi Megris 2017. Produk seruding lumek salai telah memenangi tempat tiga teratas di dalam pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan.

Ia menggunakan jenama Mem Medes dalam semua produk yang dihasilkan dan beroperasi sepenuhnya di bawah bimbingan Pusat Inkabutor Pengeluaran Ikan LKIM Kuching Sarawak.

Pada masa sekarang produk-produk ini dihantar ke agen-agen  seperti Aeon Mart, UTC dan kedai-kedai sekitar Kuching manakala di E Mart pula akan dijual selepas Hari Raya nanti. Produk ini juga turut dihantar ke semenanjung Malaysia dan akan dipasarkan di Brunei pada bulan Jun ini.

Menurut Norshafiza Zakaria, salah seorang daripada pengasas syarikat ini menerangkan jumlah jualan bulanan mereka boleh mencecah RM6,000 – RM7,000 dan  meningkat pada bulan Ramadhan.

Produk keluaran syarikat ini adalah daripada bahan halal, bersih dan juga selamat untuk dimakan tanpa bahan tambahan makanan yang tidak dibenarkan. Syarikat ini juga telah mendapat sijil pengiktirafan halal oleh JAKIM, Sijil MeSTI oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sjil Logo Buatan Malaysia oleh KPDNHEP.

Hasil daripada inovasi dan kreativiti, ikan lumek kini tidak lagi terpinggir malah telah mendapat permintaan dan pengiktirafan daripada pengguna. Rasanya yang enak dan juga telah menarik hati ramai pengguna untuk mendapatkannya.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda