Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Allianz Charity Day Ceriakan Penghuni RKKBT

By 27 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Penjaga Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh (RKKBT) Tambunan, Army Sorop berkata bukan hanya beliau sahaja yang gembira, bahkan kanak-kanak penghuni RKKBT begitu teruja menerima panggilan daripada Nexus Insplan Sdn Bhd, dua minggu yang lalu.

Panggilan diterima bukan sekadar untuk memberi sumbangan, malahan pelawaan untuk membawa semua penghuninya ke Kota Kinabalu untuk beriadah di kompleks membeli belah sambil menonton filem di pawagam.

“Pendapat saya, idea untuk membawa anak-anak ini ke sini memang sesuatu yang baik kerana mereka ini jarang berpeluang untuk keluar dari daerah Tambunan.

Penjaga RKKBT, Army Sorop.

Penjaga RKKBT, Army Sorop.

“Jadi sesekali bila mendapat pelawaan begini, pastinya mereka sangat teruja, hingga ada yang tidak lena tidur malam tadi, bahkan ada yang bersiap di awal pagi kerana tidak sabar untuk berjalan.

“Maklum saja, anak-anak ini ada yang berusia semuda enam hingga 17 tahun dan datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, ada yang mempunyai ibu tunggal, pekebun, buruh kasar malahan tidak mempunyai pendapatan tetap,” kata Army.

Menurutnya juga, kebanyakan penghuni RKKBT berasal dari sekitar Keningau, Tenom, Tambunan di kawasan pedalaman yang memang sukar untuk dimasuki kenderaan.

Kanak-kanak diberi tunjuk ajar cara membuat kraf.

Kanak-kanak diberi tunjuk ajar cara membuat kraf.

Kata Army, RKKBT dibina sejak 2007, dengan jumlah penghuni terkini seramai 64 orang dan untuk menampung dana penghuninya, mereka mengharapkan bantuan daripada agensi kerajaan dan swasta serta orang perseorangan.

“Mendiang Stephen Wong juga pernah datang untuk menghulurkan bantuan menerusi Kementerian Kesihatan dan kesejahteraan Rakyat dan baru-baru ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking juga pernah melawat kami dan memberikan sumbangan.

“Namun begitu, kami sebenarnya lebih memerlukan bantuan wang tunai untuk membayar bil-bil yang tertunggak serta gaji 12 orang pekerja yang ada di RKKBT.

Sedikit taklimat mengenai pembuatan kraf daripada pasukan Nexus.

Sedikit taklimat mengenai pembuatan kraf daripada pasukan Nexus.

“Manakala untuk barang makanan kering pula, kami bercadang untuk menganjurkan Bazar Mini untuk menjual semula barangan sumbangan yang berlebihan, bagi menampung kos RKKBT dan mengelakkan makanan rosak,” jelasnya ketika ditemui pada Sabtu.

Selain dibawa menonton filem dan membuat kraf, Nexus turut menyerahkan mock cek bernilai RM5,000 kepada RKKBT.

Dalam pada itu, Pengurus Nexus, Goh Khai Chuan berkata agensinya mewakili Allianz Insurance Malaysia menganjurkan Allianz Charity Day yang diadakan serentak seluruh negara dengan mengadakan program berbentuk kebajikan.

Pengurus Nexus, Goh Khai Chuan

Pengurus Nexus, Goh Khai Chuan

“Setiap tahun kami akan menjalankan satu program kebajikan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Tahun Ini merupakan tahun ke lima dan kami memilih penerima yang betul-betul memerlukan sokongan kami.

“Ketika kami memilih RKKBT, kami merasakan mereka jarang mempunyai peluang untuk beriadah ke pusat membeli belah dan menonton wayang di pawagam ataupun menikmati makanan segera.

Goh ketika memberi sedikit taklimat pada Program Allianz Charity Day

Goh ketika memberi sedikit taklimat pada Program Allianz Charity Day

“Walaupun kita tahu makanan segera tidak begitu sihat tapi sesekali kanak-kanak ini juga ingin merasai keseronokan untuk menikmati itu semua jadi kami berpendapat mengapa tidak beri mereka peluang dan pengalaman tersebut hari ini,” ujarnya.

Goh turut berharap agar semua agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dapat turut sama menghulurkan sumbangan, sekurang-kurangnya setahun sekali pada mana-mana badan kebajikan.

“Sekurang-kurangnya libatkan anak-anak ini dalam program kebajikan dan berikan kegembiraan kepada mereka.

Dari kanan:Kong Su Siong, Army dan Goh Khai Chuan bersama mock cek bernilai RM5ribu untuk RKKBT.

Dari kanan – Kong Su Siong, Army dan Goh Khai Chuan bersama mock cek bernilai RM5,000 untuk RKKBT.

“Ini kerana, setelah kita mendapat sumbangan daripada masyarakat, sudah tentu kita juga ingin mengembalikannya semula kepada mereka.

“Pada yang berminat untuk menjadi salah seorang keluarga Nexus boleh hubungi talian 0109310140 agar kita bersama-sama dapat melakukan kerja-kerja kebajikan dan membantu mereka yang sangat memerlukan,” kata Goh.

Turut hadir sama, Pengerusi Nexus Agency, Kong Su Siong.

EM

 

Tinggalkan komen anda