Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

Minat Membaca Perlu Dipupuk

By 8 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:   Noorshazana binti Shaadan/ Latifah Saad (Port Dickson) 

PORT DICKSON, 8 Jul (Malaysiaaktif) – “Semua orang memiliki telefon pintar yang memudahkan kita mendapatkan maklumat. Ibarat kata, dunia di hujung jari. Namun, buku masih memainkan peranan penting dalam kehidupan kita.”

Demikian kata Pegawai Daerah Port Dickson yang juga Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca Daerah Port Dickson, Khairy Maamor ketika berucap merasmikan Kempen Merakyatkan Budaya Membaca Daerah Port Dickson di Perpustakaan Awam Port Dickson, di sini, Khamis lalu.

“Buku adalah wadah pengetahuan kepada manusia yang memerlukan ilmu dalam pelbagai bentuk. Hanya mereka yang cintakan buku akan merasai kepentingannya. Keadaan ini jugalah yang menyebabkan bukan mudah untuk menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat kita.

Antara peserta Pertandingan Pidato dan Syair sempena Kempen Merakyatkan Budaya Membaca Peringkat Daerah Port Dickson.

Antara peserta Pertandingan Pidato dan Syair sempena Kempen Merakyatkan Budaya Membaca Peringkat Daerah Port Dickson.

Ujarnya, hanya mereka yang minat membaca buku akan sanggup bersusah-payah datang ke perpustakaan. Ibu bapa perlulah membawa anak-anak berkunjung ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti sekali gus menanam minat membaca dalam diri anak-anak.

“Tokoh seperti Pendeta Zaaba yang telah diangkat di peringkat antarabangsa wajar dicontohi kerana ketinggian ilmu yang mampu melahirkan minat dan pembacaan yang proaktif. Tahap minat membaca dalam masyarakat kita adalah salah satu penanda aras dalam menentukan kualiti pendidikan negara.

Katanya lagi, sesetengah orang fikir membaca adalah membosankan walhal banyak kebaikan yang kita akan perolehi melalui membaca.

Tegasnya, penganjuran kempen membaca dapat meningkatkan tabiat membaca sebagai gaya dan budaya hidup masyarakat kerana menurut kajian purata masyarakat di Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun.

“Oleh itu, saya menyeru kepada ketua-ketua jabatan di peringkat daerah untuk memberi galakan membaca kepada anggota di bawah seliaan supaya membaca.

Dalam majlis tersebut, penghargaan diberikan kepada tiga kategori Pembaca Terbanyak bagi kategori Dewasa, Belia dan Kanak-kanak. Turut diadakan, pertandingan syair dan pidato, pameran agensi dan pertandingan pakaian kebangsaan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Hamdan Nordin.

-KN

Tinggalkan komen anda