
Laporan/foto: Suria bt Karim (Seberang Perai Selatan)
NIBONG TEBAL, 12 Julai (Malaysiaaktif) – Hari Kebangsaan disambut pada 31 Ogos setiap tahun, namun itu tidak bererti kita perlu tunggu sebulan lagi untuk menyemarakan rasa cinta akan Negara. Bagi menyahut dan menceriakan lagi bulan kebangsaan yang akan tiba nanti, Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) turun padang dalam menyampaikan hebahan dan promosi berkaitan akitiviti yang akan diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan bertemakan Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih tidak lama lagi.
Justeru itu, kesempatan berkunjung dan bertemu dengan beberapa pemimpin masyarakat untuk mengedarkan borang-borang pertandingan ini untuk mereka sampaikan kepada masyarakat akar umbi terutamanya di kawasan bandar dan luar bandar.
Sebanyak sembilan kategori telah diketengahkan untuk mereka menonjolkan bakat seni kreatif melalui pertandingan ini. Diantara kategori yang dipertandingkan adalah bangunan kerajaan, bangunan swasta, pusat pengajian tinggi awam/swasta, pintu gerbang, individu, kampung, taman perumahan, sekolah rendah dan yang terakhir sekolah menengah.
Keterujaan yang ditunjukkan oleh Pengetua SMK Valdor, Encik Aye Choy, 53 tahun menarik perhatian apabila beliau mengatakan bahawa ini merupakan saluran dan mekanisme terbaik kepada rakyat Malaysia bagi menzahirkan rasa sayang akan tanah air
Selain itu, beliau menyambut baik usaha yang dilakukan Jabatan Penerangan dalam memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam apa jua manfaat serta insentif-insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan pada pertandingan ini.