
Pelapor/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
PENGKALAN HULU, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) terus mengorak langkah bagi membentuk minda dan sahsiah penuntut Universiti Awam (UA) ke arah kecemerlangan modal insan selaras dengan kehendak kerajaan.
Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu Dr. Safwan Mohamad, pengajuran program memfokuskan golongan belia ini bertujuan untuk melatih pemimpin-pemimpin muda supaya mereka berjaya menjadi pemimpin yang dapat merasai denyut nadi rakyat.
“Inilah aspirasi kerajaan di sebalik program ini iaitu untuk melatih belia supaya menjadi pemimpin yang berguna dan berjiwa rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Pewaris Muda Peringkat Negeri Perak di Felda Nenering 1, di sini semalam.
Seramai 85 pelajar Institut Pendidikan Guru, Ulu Kinta, Ipoh terlibat dengan perlaksanaan pelbagai acara menarik termasuklah program keluarga angkat yang melibatkan penduduk felda itu sendiri.
Menurut peneroka, Abdul Rahman Harun, 64, penduduk felda sentiasa terbuka menerima program sebegini kerana memberi peluang kepada anak-anak muda ini mendekati masyarakat dan merasai suasana hidup di desa.
“Pendekatan Jabatan Penerangan yang menjadikan felda ini sebagai tuan rumah amat bertepatan kerana prasarana penting yang terdapat di sini seperti dewan dan masjid dalam satu kawasan yang sama memudahkan aktiviti yang ingin dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Nur Syuhada Zamani, 20, menjelaskan, program yang memberi tumpuan kepada pelajar UA seperti ini perlu diteruskan kerana kekangan aktiviti luar dalam kalangan pelajar.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya terlibat dengan aktiviti luar anjuran jabatan luar kerana sebelum ini kebanyakan program dianjurkan oleh pihak institusi sendiri.
“Malahan, pengisian program selama tiga hari dua malam ini juga mendidik anak muda agar tidak terlalu bergantung dengan telefon bimbit,” katanya lagi.
Menurut seorang peserta lagi, Siti Nur Khalida Ameri, 21, penggunaan telefon bimbit amat terhad namun dia tidak merasakan ia sebagai satu masalah kerana aktiviti bersama masyarakat setempat amat menyeronokkan.
“Saya memperoleh pengalaman berharga selain pengetahuan baru selama berada di sini dan adalah amat menyedihkan kerana terpaksa berpisah dengan keluarga angkat yang sangat baik dan suasana kampung yang begitu berbeza berbanding di bandar,” kata pelajar tahun dua jurusan Bahasa Melayu ini.
-SH