
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Ibadah Korban pada Hari Raya Aidiladha terbukti menyatukan ahli-ahli dalam satu komuniti.
Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Bangat Osman Dullah, penganjuran majlis korban membolehkan semua pihak menyuburkan nilai dan semangat ukhuwah dalam diri khususnya umat Islam, di samping meningkatkan hubungan baik antara pemimpin di peringkat komuniti dan penduduk kampung.
“Upacara penyembelihan lembu bermula seawal 8.30 pagi dengan daging korban dilapah, dipotong dan dibahagikan secara gotong-royong.
“Aktiviti gotong-royong bukan sahaja menyemai semangat kerjasama tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan semua ahli komuniti tanpa mengira umur dan pangkat,” katanya.
Tambahnya ibadah korban bukan sahaja merapatkan hubungan malah dapat menyantuni golongan yang memerlukan dan yang kurang bernasib baik.
“Ia tidak hanya memupuk semangat pengorbanan dalam diri, bahkan juga hubungan sesama insan dalam masyarakat selain berpeluang untuk kita berkongsi nikmat dengan orang lain,” katanya semasa ditemui pada majlis korban anjuran Surau al-Mubarakah Kampung Sungai Bangat, di sini pagi tadi.
Hadir sama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) Sub Zon 2, Firdaus Abdullah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Surau al-Mubarakah dan Ahli-Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Bangat.
-SH