
Laporan/ foto: Faizal Mat Akhir/ Mohd Zaini Dollah (Seberang Perai Selatan)
SIMPANG AMPAT, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Untuk menghebahkan kempen dan dasar-dasar kerajaan, satu usaha yang komprehensif perlu dilaksanakan bagi mendekati masyarakat akar umbi melalui aktiviti kenegaraan. Bagi menggelorakan dan menyemarakkan lagi bulan kebangsaan ini, satu program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan iaitu Merdeka@Komuniti sempena Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 telah diadakan di Arked Simpang Ampat.
Pelbagai acara menarik telah diadakan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak Tabika Perpaduan, pertandingan Bintang Kanak-kanak Patriotik, pertandingan Beyblade Merdeka, Swafoto Merdeka dan Jalur Gemilang Terpanjang 118 meter, permainan tradisional dan pameran. Program ini diadakan dengan kerjasama yang padu dari agensi kerajaan daerah yang lain antaranya Pejabat Perpaduan, Pejabat Pendidikan, Pejabat Daerah, MARA, TEKUN Nasional, SPRM, JKR, MPSP, PDRM, JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Minuman VICO dan sebagainya.

Ketua konvoi, Puan Wan Azizah Wan Omar disambut oleh Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, YB Dr. Amar Pritpal Abdullah
Menariknya, semasa ketibaan konvoi KMJG 19 yang diketuai oleh Puan Wan Azizah Wan Omar, ianya disambut dengan gimik kereta kuda berhias yang dinaiki oleh tetamu kehormat dengan mengelilingi Arked Simpang Ampat sebelum acara rasmi bermula. Turut sama disusuli dengan persembahan Silat Gayung Patani dan diserikan dengan dendangan 3 buah lagu persembahan orkestra dari 37 orang pelajar SMK Valdor yang dipimpin oleh Cikgu Ng. Poh Lee. Kumpulan orkestra ini pernah memenangi Anugerah Pingat Emas pertandingan festival kesenian peringkat kebangsaan.
Selain itu, seiring dengan tema hari kebangsaan dengan slogan ‘Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih’, kempen perangi rasuah diadakan dengan kehadiran maskot Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kapten Macc.
Turut hadir sama memeriahkan program ini ialah Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, YB Dr. Amar Pritpal Abdullah, ADUN Jawi dan ADUN Bukit Tambun dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Yazman bin Yahya.
-II-