Skip to main content
Berita TempatanKuala Lumpur

Koir DBKL ‘Cantas’ Kesibukan Bandaraya

By 22 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan/Foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman 

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Dari jauh sayup kedengaran bait-bait indah lagu ‘Jalur Gemilang’, ‘Malaysia Bersih’, ‘Negaraku’, ‘Tanggal 31 Ogos’ dan ‘Warisan’ yang dinyanyikan secara beramai-ramai diiringi petikan gitar dan alunan muzik minus-one.

Walaupun kedengarannya seperti biasa, namun siapa sangka kemerduan suara tersebut didendangkan oleh kumpulan Koir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lebih unik lagi apabila kumpulan koir tersebut menyanyi dari atas bas KL Hop-On Hop-Off sambil mengibarkan Jalur Gemilang mengelilingi ibu kota bermula dari Dataran Merdeka menyusuri Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Imbi, Jalan Kinabalu dan berakhir di Dataran DBKL.

Istimewanya, jelajah Koir DBKL ini turut disertai oleh barisan kepimpinan tertinggi Wilayah Persekutuan terutamanya Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, Timbalannya, Datuk Shahruddin Md Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan serta Ahli Parlimen Batu, P.Prabakaran.

Koir DBKL di atas bas KL Hop-In Hop-Off.

Koir DBKL di atas bas KL Hop-In Hop-Off.

Kemeriahan koir ini sebagai seruan kepada seluruh warga kota untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan dan semangat cintakan negara yang telah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun pada tahun ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dan bersyukur atas kemakmuran yang kita kecapi hingga kini,” kata Fauzlinah Rahman, 35, ahli koir.

“Tidak dapat saya gambarkan rasa keterujaan dan semangat yang berkobar-kobar apabila dimaklumkan untuk menyanyi mengelilingi sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dari atas bas sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dianjurkan oleh DBKL  ini, ” ujar Fauzlinah lagi.

Menurut Nornasiha Mohd Nasir, 27,  ia merupakan satu pengalaman indah yang tidak mungkin dapat dilupakan kerana berpeluang  bersama-sama Menteri dan Datuk Bandar di atas bas KL Hop-On Hop-Off  menjayakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang sangat unik dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Bagi Azmi Abdul Hamid, 54, selaku penyelaras Koir DBKL berpendapat pendekatan melalui muzik bukan sahaja mampu untuk menarik perhatian warga kota untuk turut serta menyanyi sambil mengibarkan Jalur Gemilang malah ia juga membangkitkan satu semangat dan kesepakatan yang lahirnya daripada keharmonian tanpa mengira kaum.

“Sesungguhnya saya bangga kerana dapat memimpin kumpulan koir ini.  Walaupun usaha ini nampak kecil namun ia amat bermakna buat kami semua”, demikian kata Azmi sewaktu ditemui Malaysiaaktif.

Jelajah Koir DBKL ini merupakan sebagai salah satu acara dalam Kempen Kibar Jalur Gemilang yang telah dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 16 Ogos lalu.

– AO

Tinggalkan komen anda