
Laporan/foto: Juslie Bacle / Vicky Matanjang (Kota Kinabalu)
KOTA MARUDU, 5 Sept (Malaysiaaktif) – Penganjuran acara Doa Sayangi Malaysiaku dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.
Menurut wakil Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony iaitu Mudi Dubing, semangat patriotisme dan cintakan negara perlu ditanamkan di hati setiap orang terutamanya dikalangan generasi muda.
“Semangat sebegini amat penting bagi kita kerana ia dapat mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan anasir-anasir yang boleh menggugat kesetiaan kita kepada negara tercinta ini.
“Sikap hormat menghormati terhadap adat, budaya dan agama perlu teruskan bagi menjaga keharmonian kaum di negara ini.” ujarnya
Mudi yang juga Pengerusi Perkasa Holding Sdn Bhd berkata demikian semasa merasmikan acara Doa Sayangi Malaysiaku anjuran Pertubuhan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) Malaysia dan Persatuan Kimaragang Sabah di Dewan Terbuka, Pekan Tandek pada Khamis.
Hadir bersama sama dalam acara tersebut, Ketua Daerah Kota Marudu merangkap Presiden Persatuan Kimaragang Sabah, OKK Dato Baintin Adun, Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu, Albert Gunting dan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah, Mickey Apison.
ER