Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Ewon Harap Peruntukan Lebih Besar Bagi KPLB dalam Bajet 2020

By 27 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

PAPAR, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Ewon Benedick berharap kerajaan persekutuan dapat menyediakan peruntukan lebih besar untuk Sabah bagi menjayakan program menyejahterakan masyarakat luar bandar dan melaksanakan program pembasmian kemiskinan dalam Bajet Negara 2020.

Beliau berkata, berdasarkan dapatan daripada program turun padang dan meninjau sendiri keadaan perkampungan Mini Estate Sejahtera (Mesej), Kampung Sejahtera dan kampung-kampung lain luar bandar yang terpencil, masih banyak kemudahan asas diperlukan bukan sahaja jalan raya, bekalan elektrik dan air tetapi juga rumah sejahtera rakyat.

“Selepas satu tahun setengah berada dalam kementerian ini, saya telah melawat banyak kampung di pedalaman, di ulu-ulu yang saya katakan kampung di ‘pisuk-pisuk’ dan memang kita dapati begitu banyak keperluan bukan hanya infrastruktur atau amenity sosial tapi keperluan membasmi kemiskinan dengan menyediakan rumah-rumah dan program ekonomi masyarakat yang tersenarai dalam e-Kasih.

“Oleh itu adalah menjadi harapan KPLB Sabah dan seluruh penduduk luar bandar supaya kerajaan persekutuan dapat menyediakan lebih banyak peruntukan untuk merealisasikan agenda pembasmian kemiskinan dan menyejahterakan komuniti luar bandar,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja di Mesej Kinolosodon Papar, di sini, pada Khamis.

Beliau diminta mengulas harapan kementeriannya untuk Belanjawan 2020 yang di jadual dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober depan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kementeriannya telah mengemukakan beberapa keperluan rakyat luar bandar termasuk program Rumah Bina Baru, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di kawasan Mesej, Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA).

“Antara yang kita kemukakan ialah keperluan membina lebih banyak rumah bina baru berbanding program baik pulih rumah untuk kemudahan masyarakat luar bandar yang tersenarai dalam e-Kasih.

“Kita juga telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan persekutuan agar Program AET untuk mewujudkan pendapatan tambahan kepada peserta Mesej dan kampung-kampung lain dapat dibajetkan dalam belanjawan negara 2020.

“Selain itu KPLB Sabah juga telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan lebih besar bagi program BELBA dan BALBA,” katanya.

Ewon berharap permohonan yang telah dikemukakan kepada kerajaan persekutuan dapat diberi perhatian sewajarnya selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyejahterakan dan membasmi kemiskinan luar bandar.

“Ini adalah harapan saya dan harapan kementerian serta komuniti luar bandar secara keseluruhannya,” katanya.

ER

Tinggalkan komen anda